Share |

Friday 13 May 2011

FMM mahu sistem pendidikan negara dikaji semula

Sudah tiba masanya sistem pendidikan negara dikaji semula secara holistik memandangkan kajian terakhir, laporan Rahman Talib, dilakukan 51 tahun yang lepas.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) menggesa supaya sistem pendidikan negara dikaji semula sepenuhnya untuk membolehkan Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi selain berdaya saing di peringkat global.

Presidennya Tan Sri Mustafa Mansur dalam satu temu bual dengan Bernama berkata sudah tiba masanya sistem pendidikan negara dikaji semula secara holistik memandangkan kajian terakhir, iaitu laporan Rahman Talib, dilakukan 51 tahun yang lepas. Laporan itu menyusuli Laporan Razak pada 1956.

“Juga adalah penting untuk meneliti semula intipati laporan pendidikan terdahulu, sejauh mana ia telah mencapai matlamatnya dan pelaksanaannya. Sejak laporan terakhir ini, objektif serta peranan pendidikan khasnya telah berubah daripada segi penekanan yang diberikan.

“Kita telah menyaksikan perubahan berkala dalam beberapa aspek sistem pendidikan kita tetapi perubahan ini bukan secara menyeluruh,” kata Mustafa, bekas guru yang kini merupakan usahawan yang berjaya.

Beliau berkata jawatankuasa kajian semula yang ditubuhkan nanti perlu diwakili pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli ekonomi, ahli sejarah dan sehinggakan anggota masyarakat.

Jawatankuasa itu perlu meneliti semua isu-isu membabitkan sistem pendidikan termasuk meningkatkan penguasaan ilmu dan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

“Sesuai sekali jika jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memandangkan ayah beliau yang merupakan orang di sebalik Laporan Razak,” kata beliau.

- Bernama

No comments: