Share |

Wednesday, 27 April 2011

Momentum desak Pengetua sekolah ditukar meningkat

Pengetua sebar fitnah berunsur perkauman untuk menutup tembelangnya, kata guru sekolah

SHAH ALAM: Ibu bapa dan bekas pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seksyen 25 di sini meningkatkan momentum untuk mendesak pengetuanya ditukarkan dengan segera.

Mereka memulakan petisyen dengan mengumpul minimum 500 tandatangan sebagai usaha mahu meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Kementerian Pendidikan dan kerajaan memberi perhatian serius terhadap pengetua yang memanipulasi keadaan yang wujud di sekolah.

“Kami mahu pengetua sekolah ditukarkan dengan kadar segera,” kata salah seorang ibu pelajar yang menunjukkan salinan petisyen tersebut.

Petisyen itu menyebut,”kami kecewa dengan cara pentadbiran Puan Megawati Hasbullah selaku Pengetua SMK Taman Sri Muda, Shah Alam. Dia tidak adil, tidak bertanggungjawab dan tidak layak menjadi pengetua.

“Banyak masalah timbul sejak dia menjadi pengetua di sekolah ini hampir empat tahun lalu. Sikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab wanita ini menyebabkan nama sekolah tercemar, pelajaran anak-anak terjejas dan sekolah ini tidak lagi selamat.”

“Ibu bapa berkenaan kecewa kerana pengetua itu cuba mengalihkan perhatian dan meletakkan kesalahan kepada orang lain terhadap segala kelemahannya sebagai pentadbir di sekolah itu.

“Beliau menyalahkan guru, pelajar, polis, ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG),” menurut petisyen itu.

“Usaha mengumpul tandatangan dimulakan pada jam 3:00 petang semalam. Sehingga 5:00 petang semalam, hampir 200 tandatangan sudah diperoleh,” kata salah seorang ibu yang menjadi penyelaras bagi mengumpulan tandatangan ini.

Sementara itu, 12 ibu bapa para pelajar sekolah menengah di sini yang menerima undangan untuk menghadiri mesyuarat melahirkan rasa kecewa terhadap pihak pengurusan sekolah apabila mesyuarat di antara pengetua, JPS, PPD, polis dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) tidak menjadi kenyataan.

“Selepas menunggu sejam kami menyedari pengetua, wakil JPS, wakil PPD dan wakil parti politik mengadakan perbincangan berasingan.

“Kami sangat kecewa dan sedih kerana diperlakukan seperti orang bodoh kerana menunggu selama lebih sejam untuk mencari jalan penyelesaian tetapi perbincangan tertutup diadakan di bilik lain tanpa pengetahuan kami,” kata salah seorang bapa pelajar yang enggan namanya disiarkan.

Pengetua sebar fitnah

Dalam pada itu, beberapa guru di sekolah tersebut mendedahkan bahawa pengetua sekolah itu mula menyebarkan fitnah dan khabar angin berbaur perkauman mengenai guru-guru lain di sekolah itu.

Guru-guru itu yang tidak mahu nama mereka didedahkan berkata, pengetua memberitahu mereka secara terbuka bahawa punca pergaduhan di sekolah pada 20 April lalu adalah akibat perbuatan guru-guru kaum India.

“Walaupun kami guru kaum Melayu, hubungan kami bersama guru-guru kaum India di sekolah ini sangat rapat dan tidak ada sebarang masalah. Tetapi kini pengetua cuba menanam bibit-bibit perpecahan dan perkauman dalam kalangan guru dan pelajar.

“Tindakan pengetua bertentangan dengan niat murni kerajaan dan rakyat
yang cintakan perpaduan dan keamanan.

Kami percaya, pengetua berbuat begini kerana terdesak selepas ibu bapa berani mengadakan perhimpunan aman, membuat laporan polis serta menuntut pengetua menjelaskan punca segala masalah di sekolah sejak 4 tahun lalu,” kata beberapa guru Melayu di sekolah tersebut.

Guru-guru tersebut berharap segala masalah segera selesai secara baik dan tidak ada mana-mana guru, pelajar dan ibu bapa menjadi mangsa manipulasi yang dibuat demi menyelamatkan seorang individu yang bersalah.

Mereka tidak mahu nama dan identiti mereka didedahkan kerana takut dikenakan tindakan atau menjadi mangsa pihak tertentu.

No comments: