Share |

Wednesday 6 April 2011

Dewan Rakyat: 34,905 warga asing ditahan tahun lalu

Berita Harian 
KUALA LUMPUR: Seramai 34,905 warga asing ditangkap sepanjang tahun lalu kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1953/63, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, penangkapan itu dibuat melalui 6,017 operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dalam tempoh berkenaan.

“Seramai 688 majikan ditangkap atas kesalahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, iaitu mengambil pekerja (asing) secara tidak sah,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil).

Hishammuddin berkata, beliau amat memahami kebimbangan rakyat berhubung kebanjiran warga asing di negara ini, tetapi isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks dua fenomena dunia.

Katanya, fenomena itu ialah globalisasi dengan mengambil kira landskap baru migrasi dan mobiliti penduduk dunia tanpa sempadan, serta langkah mengimbangi kebanjiran warga itu dengan keperluan pekerja asing untuk menjana dan juga memulihkan ekonomi negara.

Justeru, beliau berkata, Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, meneliti isu berkenaan dari aspek perundangan, kewujudan sistem dan proses lebih komprehensif serta menyuntik kemahuan politik untuk memantau keadaan.

Terdahulu menjawab soalan Md Sirat, Hishammuddin berkata, statistik Jabatan Imigresen menunjukkan sehingga 31 Disember tahun lalu, ada seramai 1,817,871 warga asing memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (LPKS) yang aktif.
“Kerajaan ketika ini menetapkan warga asing yang memegang LPKS hanya dibenarkan bekerja dalam enam sektor, iaitu pembantu rumah, pembinaan, pembuatan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

“Mengenai sektor perkhidmatan, dasar semasa kerajaan yang bermula 14 Januari 2009, hanya membenarkan pekerja asing bekerja dalam tiga subsektor, iaitu restoran (tukang masak), pembersihan dan pencucian, serta pulau peranginan, selainnya masih dibekukan.

“Pecahan pemegang PLKS mengikut sektor pekerjaan sehingga 31 Disember tahun lalu ialah pembantu rumah (247,069), pembinaan (235,010), pembuatan (672,823), perkhidmatan (165,258), perladangan (266,196) dan pertanian (231,515),” katanya.

Sambil menjelaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab mengeluarkan permit kerja kepada pekerja asing tidak mahir dan separa mahir dalam enam sektor itu, Hishammuddin berkata, kementerian bagaimanapun tiada rekod mengenai jumlah warga asing yang dibenar menjalankan perniagaan seperti gerai makanan dan memiliki harta di negara ini.

Namun sebagai langkah jangka panjang, katanya, kerajaan sedang melaksanakan strategi serta pendekatan bagi memantapkan mekanisme pengurusan warga asing di negara ini melalui JKKPA-PATI yang turut membabitkan 13 kementerian dan agensi berkaitan.

Makmal Pengurusan Warga Asing yang berlangsung dari 23 Mac hingga 23 April tahun lalu mengemukakan 50 syor dan sehingga kini, 48 usul itu sudah dipersetujui kerajaan dengan 19 daripadanya akan dibuat kajian lanjut, 29 syor lagi akan dilaksanakan melalui tiga fasa sehingga Disember depan.

No comments: