Share |

Tuesday, 8 March 2011

Memperkasa IKS Bumiputera

Perkasa mahu tingkatkan sumbangan IKS kepada KDNK ke paras 40%.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bercadang untuk memperkasakan kedudukan syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera dan meningkatkan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK).

“Sekarang ini terdapat sebanyak 540,000 syarikat IKS di negara ini dan 80% milik Bumiputera,” kata Presidennya Datuk Ibrahim Ali selepas mempengerusikan mesyuarat pra-meja bulat konvensyen di Kelab Sultan Sulaiman di sini petang tadi.

Perkasa akan menganjurkan Konvensyen Transformasi Ekonomi Bumiputera di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 27 Mac ini.

Bagaimanapun katanya, peratus KDNK yang disumbang oleh IKS ialah pada sekitar 30% sahaja berbanding dengan negara-negara maju di mana IKS menyumbang sebanyak 50% KDNK.

Menurut Ibrahim, pakar-pakar di Perkasa mahu memperkasakan syarikat IKS ke tahap dimana syarikat IKS boleh menyumbang sekurang-kurangnya 40% kepada KDNK.

Perkara kedua yang dibangkitkan ahli parlimen Bebas itu ialah yang berkaitan Pendapatan Kasar Negara (GNI).

Menurut beliau, GNI orang Melayu hanya sebanyak 20% bersamaan RM140 bilion.

“Menjelang 2020, GNI berjumlah RM1.7 trilion. Oleh itu, GNI Bumiputera perlu ditingkatkan sebanyak RM260 bilion,” ujar ahli parlimen Pasir Mas tersebut.

Justeru itu katanya, kerajaan perlu menggunakan ‘tongkat’ untuk membantu masyarakat Bumiputra,” tambah Ibrahim. Isu-isu yang dibangkitkan dalam konvensyen dan kaedah bagi mengatasi cabarannya akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk

Seri Najib Tun Razak dan agensi-agensi kajian Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu).

No comments: