Share |

Monday 14 February 2011

MB S’gor ujar DEB distruktur semula

'Orang Melayu mesti duduk bersama dan mengambil kira pengalaman lepas supaya pelan lengkap yang berjaya dapat dirangka.'

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berpendapat penyesalan terhadap kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukanlah satu cara untuk menyelesaikan masalah ekonomi dalam kalangan masyarakat Melayu.

Malah jurang perbezaan pendapatan yang masih wujud antara kaum majoriti di negara ini juga belum tentu dapat dipulihkan jika DEB dihapuskan.

Demikian menurut Khalid dalam responnya terhadap pengakuan terbuka mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa DEB tidak mencapai matlamatnya akibat penyalahgunaan kuasa pihak tertentu untuk mendapatkan kekayaan dengan kadar segera.

“Menyesal atau tidak itu bukan jawapan. Jawapannya adalah apa yang perlu dilakukan untuk generasi masa akan datang.

“Penyelesaian terbaik adalah orang Melayu kena belajar semula kesilapan, memahami kesalahan dan membuat agenda baru yang tidak berpandukan keinginan politik tetapi keinginan untuk melihat kejayaan orang Melayu,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja Seminar Pembangunan Semula Pemikiran Islam Melayu di sini hari ini.

Namun Tun Mahathir dalam ucaptama di Simposium Dilema Melayu ‘Perspektif dan Konklusi’ anjuran Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini berkata dasar itu perlu diteruskan kerana 30 peratus ekuiti Bumiputera yang ditetapkan masih belum tercapai.

Khalid ketika diminta mengulas mengenai kenyataan itu bagaimanapun turut sependapat dengan Mahathir supaya DEB tidak perlu dihapuskan, tetapi perlu ‘dikaji’ dan ‘distruktur semula’.

“Sudah tiba masanya DEB perlu dilihat semula. Orang Melayu mesti duduk bersama dan mengambil kira pengalaman lepas supaya pelan lengkap yang berjaya dapat dirangka.

“Kalau tiada (pelan) kita masukkan supaya dengan cara itu kita dapat memberi keseimbangan dalam pembangunan DEB dan dalam masa yang sama dapat diterima oleh semua masyarakat,” katanya.

Beliau berkata isu Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh keistimewaan hak kaum Melayu dan Bumiputera juga tidak akan timbul selagi pendekatan sedemikian tidak menjejaskan proses pelaksanaan dan cara pembawaan DEB untuk menangani arus cabaran perubahan globalisasi pada masa akan datang.

Kadar jenayah meningkat

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai respon Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang menolak permohonan kerajaan Selangor untuk menubuhkan pasukan polis bantuan bagi menangani kadar jenayah yang semakin meningkat di negeri itu.

Hishammuddin dalam alasannya kelmarin berkata, mengikut perlembagaan isu keselamatan dan urusan polis terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan serta menyifatkan cadangan itu hanya membazirkan wang kerajaan negeri.

“Kita tak nak rakyat kata kerajaan negeri tak buat apa-apa. Tidak ada sesiapa pun nak masalah jenayah berlaku disekeliling mereka.

“Saya tak kata polis tak buat kerja malah mereka telah menjalankan tanggungjawab dengan cara yang terbaik (namun) dalam keadaan yang terhad.

“Sebab itulah kerajaan negeri berpendapat sehingga polis dapat memantapkan lagi tenaga kerja mereka, kita mintaklah supaya (khidmat) polis bantuan dilakukan.

“Kalau kerajaan Persekutuan kata tak perlu dan nak tambah lagi jumlah anggota polis, itu kita tak ada masalah tapi jangan sampai rakyat kata kita tiada usaha untuk selsaikan masalah ini,” ujar Khalid.

No comments: