Share |

Tuesday 11 January 2011

Kontroversi ‘Interlok’: Kumpulan NGO lapor polis


KUALA LUMPUR: Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis susulan tindakan kira-kira 100 penduduk berketurunan India membakar novel yang mencetuskan kontroversi ‘Interlok’ itu kelmarin.

Kumpulan NGO itu terdiri daripada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Ikatan Melayu Asli Nusantara (Iman), Penasihat Persatuan Silat Selangor, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN).

Laporan itu juga bagi mempertahan dan memartabatkan penulis novel Datuk Abdullah Hussain dan tindakan itu disifatkan sebagai menjatuhkan maruah penulis serta mengandungi unsur kebencian melampau.


“Kami prihatin kerana penulis ialah sasterawan negara dan tokoh yang menerima anugerah sastera negara daripada Yang Dipertuan Agong.

“Penghinaan terhadap sasterawan negara sama seperti penghinaan terhadap Seri Paduka,” kata Presiden Pena Mohamad Saleeh Rahamad yang mewakili kumpulan NGO tersebut.

Menurut beliau, pihaknya berharap agar pihak polis dapat mengambil tindakan memandangkan peristiwa itu boleh menyebabkan kestabilan dan keharmonian kaum tergugat.

Menyinggung perasaan kaum India

Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi kontroversi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada halaman 211 dan 220.

Kelmarin gesaan itu dibuat oleh Parti Pogresif Penduduk, Parti Makkal Sakhti dan NGO Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (Prima).Kira-kira 100 penduduk berketurunan India mengadakan demonstrasi sambil membakar novel Interlok di hadapan Dewan Sentosa,Majlis Perbandaran Klang baru-baru ini mendesak kerajaan mengharamkan novel tersebut dan menarik balik keputusan menjadikannya sebagai buku teks sastera.

Sepanjang demonstrasi kira-kira sejam itu, kumpulan itu menaikkan poster antaranya tertulis, ‘Hapuskan Interlok’, ‘Jangan Hina Kami’ dan ‘Fikir Dulu Sebelum Laksanakan’ selain menggantungkan kasut pada replika novel itu sebelum membakarnya.

Sementara itu, Penasihat PIBGN Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan menyifatkan tindakan tersebut sebagai kurang matang.

“Pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan. Sebaliknya perbincangan secara intelektual dan bertamadun adalah perlu,” katanya yang ditemui bersama kira-kira 30 ahli kumpulan NGO berkaitan di hadapan balai polis Dang Wangi di sini petang tadi.

Menurut Mohamad Ali, satu laporan polis juga dibuat di Ibu Pejabat Daerah Klang hari ini oleh sekumpulan NGO berhubung isu sama.

Katanya, kumpulan NGO ini akan menghantar memorandum membantah pembakaran novel Interlok kepada pejabat Menteri Pelajaran itu jam 3.00 petang esok.

Ini disusuli pula dengan perhimpunan secara besar-besaran NGO Melayu di Rumah Pena jam 2.00 petang Sabtu ini.

Manakala satu forum bagi perbincangan berhubung isu itu pula akan diadakan di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM) pada 26 Januari ini.

Forum ini dijangka dihadiri ahli akademik, ibu bapa termasuk wakil Pemuda MIC, T Mohan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung hal ini.

No comments: