Share |

Wednesday, 22 September 2010

Ravi nafi tarik diri bertanding jawatan ketua Telok Kemang

Oleh Fazy Sahir - Free Malaysia Today

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri Port Dickson M Ravi menafikan bahawa beliau menarik diri untuk bertanding jawatan ketua cabang Telok Kemang memandangkan bakal berdepan persaingan 'satu lawan satu' daripada ahli parlimen kawasan itu, Kamarul Bahrin Abas.
Menurut Ravi, tiada keinginan untuk beliau menarik diri memandangkan akar umbi mahu dirinya bertanding jawatan itu.

Malah Ravi menolak spekulasi bahawa beliau cuba menjatuhkan Kamarul dengan terus bertanding bagi jawatan tersebut.

Sebaliknya kata Ravi, ia sebagai bantuan kepada Kamarul yang kini memegang jawatan penting pusat mahupun negeri.

"Saya tidak akan tarik diri...lawan tetap lawan. Saya sudah menjadi pemangku bagi cabang itu sejak dua tahun lalu. Saya mengabadikan diri untuk membuat kerja-kerja parti, malah akar umbi mahu saya bertanding jawatan itu.

"Malah saya mahu bertanding jawatan itu bukan mahu jatuhkan beliau, tetapi bagi membantu Kamarul yang kini memegang jawatan penting dalam negeri dan pusat..ini sebagai bantuan dan memberi kebaikan kepada mereka," katanya yang dihubungi FMT hari ini.

Selain menjadi ahli parlimen Telok Kemang, Kamarul turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan bertindak sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Ravi turut menyatakan keyakinan bahawa kemenangan bakal berpihak kepadanya.

"Sehingga kini tiada sebarang masalah atau pencanggahan berlaku antara saya dan beliau, namun saya yakin akan menang," katanya yang juga pemangku ketua cabang Telok Kemang sejak 2008.

Kamarul akan kalah?

Sementara itu, sumber berkata pertandingan jawatan ketua cabang itu memberi ruang berliku buat Kamarul memandangkan Ravi dilihat calon berpotensi untuk menang.
Malah majoriti cabang di Negeri Sembilan memilih Ravi berbanding Kamarul.

"Melalui tinjauan cabang-cabang negeri Kamarul sukar untuk menang. Nampak ramai yang menolak beliau. Ravi sebaliknya, dia dapat sokongan ahli cabang dan akar umbi," kata sumber terbabit.
Katanya, disebabkan keperibadian Kamarul memberi persepsi negatif daripada ahli cabang yang melihat Ravi sebagai calon yang sesuai.
"Keperibadian Kamarul dilihat lebih keras dan ini tidak disenangi ahli," katanya.
Kira-kira 2,500 orang ahli PKR Telok Kemang bakal menunaikan tanggungjawab mengundi bagi cabang itu pada 26 September ini.

Daripada jumlah, ahli Melayu 900, India 1,200 dan Cina 350 orang dari 15 ranting (cawangan).

No comments: