Share |

Sunday 12 September 2010

Peguam dikehendaki ada rekod jenayah?

Utusan Malaysia 
Oleh ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Seorang peguam yang dipercayai antara senarai individu paling kehendaki dalam kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lagi lelaki sejak 30 Ogos lalu, disyaki mempunyai rekod jenayah kes penipuan di Selangor.

Menurut sumber yang rapat dengan Sosilawati, peguam bergelar Datuk dan berusia 40-an itu juga pernah berurusan dengan beberapa ahli politik di negeri terbabit atas urusan jual beli tanah.

Sumber itu mendakwa, salah seorang daripada ahli politik terbabit yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut terlibat dalam urusan penjualan tanah yang ingin dibeli oleh Sosilawati.

Selain itu, peguam tersebut juga ada memberikan sekeping cek bernilai RM1 juta kepada Sosilawati baru-baru ini, menurut sumber itu.

"Cek itu kemungkinan mempunyai kaitan dengan urusan beli tanah antara mereka, namun ia hanya boleh ditunaikan pada September ini.

"Sosilawati mengenali peguam itu kerana pernah beberapa kali berjumpa dengannya sebelum ini untuk membincangkan urusan pembelian tanah.

"Kali terakhir ialah sebelum beliau dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, pelbagai khabar angin tersebar mengenai misteri kehilangan Sosilawati bersama tiga lelaki.

Sosilawati yang merupakan Pengasas Nouvelles Visage dikesan hilang bersama pembantu peribadinya, Kamarudin Samsudin, 47, pegawai bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, sebaik sahaja meninggalkan pejabatnya.

Misteri kehilangan Sosilawati bagaimanapun menemui petunjuk baru apabila kereta BMW X5 berwarna hitam milik wanita itu yang dipercayai ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa akhirnya ditemui di kawasan letak kereta di Flat USJ1, Subang Jaya, 6 September lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menyalurkan apa sahaja maklumat yang diperlukan oleh polis Kuala Lumpur untuk membantu siasatan sehingga terungkai misteri kehilangan Sosilawati.

Beliau berkata, memandangkan Sosilawati dan tiga lagi yang lain dilaporkan hilang di Banting, Selangor, maka pihaknya memang ada menerima maklumat daripada penduduk tempatan.

Katanya, namun semua maklumat diperoleh itu diserahkan kepada polis Kuala Lumpur kerana disiasat pihak tersebut.

"Dalam kes-kes melibatkan orang hilang, polis Selangor memang ada terlibat memberi bantuan jika mempunyai maklumat, begitu juga pasukan polis dari kontinjen lain.

"Kes Sosilawati tidak terkecuali apabila kita sentiasa menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa jika ada perkembangan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat pos kawalan Ops Sikap Ke-22 di Batu 20, Bukit Berdarah, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor dekat sini hari ini.

No comments: