Share |

Saturday 4 September 2010

Mike undur, beri laluan kepada Gobala dan Suresh

Oleh Fazy Sahir - Free Malaysia Today

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam tidak akan bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan pucuk pimpinan PKR, yang akan diadakan tidak lama lagi.

Keputusan ini, katanya, adalah untuk memberi laluan kepada "kawan seangkatannya" dalam PKR, iaitu Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan dan bekas Pengerusi Timbalan Pengerusi Wilayah Persekutuan, R Suresh Kumar, untuk mencuba nasib pada pemilihan yang bakal diadakan pada  penghujung bulan Oktober ini.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Gobalakrishanan, katanya kepada FMT hari ini.

"Saya tarik diri untuk bertanding memandangkan ada tiga calon yang bertanding (R Sivarasa, Gobalakrishnan dan Suresh).

"Setelah berbincang dengan Gobala, sama ada beliau atau saya yang akan bertanding, kami capai kata sepakat untuk beliau (Gobala) bertanding jawatan itu," katanya.

Menurut Manikavasagam, lebih dikenali sebagai Mike di kalangan ahli parti pembangkang itu, keputusan beliau memberi pelaung kepada beliau untuk memberi lebih tumpuan kepada kawasan Parlimen Kapar serta akar umbi parti.

Katanya walaupun ramai ahli parti mahukannya bertanding jawatan naib presiden, namun beliau telah memilih untuk bertanding jawatan ahli  majlis tertinggi PKR dalam pemilihan itu nanti.

"Orang bawah mahu saya bertanding naib presiden, jika saya lawan nanti tiada masa untuk orang bawah dan kawasan. Maka saya lepaskan hasrat itu dan mahu fokus kepada akar umbi parti sendiri.

"Saya ada masa yang panjang... tidak perlu terburu-buru. Saya sah bertanding majlis tertinggi (MPT)," katanya.

'Saya tidak sokong Sivarasa'

Jawatan naib presiden parti itu menjadi hangat apabila -- Suresh Kumar -- seorang lagi pemimpin India dalam parti itu semalam mengumumkan yang beliau akan bertanding jawatan tersebut.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, pula disebut-sebut bercadang untuk pempertahankan  jawatan naib presiden.

Namun menurut Manikavasagam, sudah tiba masanya Sivarasa memberi peluang kepada muka-muka baru untuk bertanding jawatan itu.

"Saya tegas mengenai hal ini, ia bukan bersifat peribadi tetapi saya tidak sokong Sivarasa. Kita tidak mahu apa yang terjadi dalam MIC – (S) Samy Vellu pegang jawatan terlalu lama.

"Maka sejajar dengan harapan baru untuk rakyat, beliau (Sivarasa) pun sudah 10 tahun memegang jawatan, kini tiba masa untuk memberi peluang kepada orang lain untuk bertanding," katanya.

Katanya, perubahan perlu memandangkan undi masyarakat India ke atas PKR mulai menurun sehingga 10 peratus.

"Siapa-siapa menang saya akan sokong. Kita memerlukan satu naib presiden baru untuk memberi idea-idea bernas untuk terus tarik rakyat kepada PKR.

"Ketika Sivarasa pegang jawatan itu sokongan 80 peratus mulai turun hingga 10 peratus. Ini yang kita tidak mahu," jelas beliau.

No comments: