Share |

Sunday, 19 September 2010

Malaysia tidak lagi digemari pelabur, kata Anwar

Oleh Staf FMT

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak digemari para pelabur di rantau Asia Pasifik dan ini telah menerbit kebimbangan ketua pembangkang dan penasihat Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim akan kedudukan ekonomi negara dibawah Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Anwar berkata laporan Bank of America Merill Lynch berkaitan pasaran negara begitu membimbangkan kerana menurut laporan tersebut Malaysia
kini antara negara yang tidak digemari para pelabur di Asia Pasifik selepas bank tersebut meninjau pandangan pengurus dana.

"Sungguhpun kerajaan cuba memberi gambaran yang serba indah, hakikatnya Malaysia jatuh dua anak tangga dari kedudukan sebelum ini iaitu di tangga ke 10, dan kini di kedudukan tercorot."

"Pastinya berita ini menerbitkan rasa bimbang saya berhubung kedudukan ekonomi semasa negara tatkala kononnya pentadbiran Najib akan mengemukakan satu kebijakan ekonomi yang diwar warkan bertujuan menarik minat pelabur," kata Anwar dalam  kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya kerajaan Najib perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara pokok dan diantaranya adalah pandangan para pelabur yang melihat Malaysia sudah tidak mampu bersaing dengan negara jiran yang begitu bertenaga maju ke hadapan seperti Indonesia.

"Tetangga kita itu menurut tinjauan Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) pula telah melonjak 10 anak tangga ke kedudukan 44 dari 139 negara," kata beliau, yang pada suatu ketika pernah menjawat jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Sangsi MEB mampu pulih ekonomi

Berikutan perkembangan sebegini, Anwar sangsi perincian Model Ekonomi Baru yang bakal diumumkan Najib mampu memulihkan ekonomi negara yang lembap ini.

Kata Anwar hasrat kerajaan untuk menjana pelaburan bernilai RM2.2 trillion dalam  masa 10 tahun, yang mana 92% dari jumlah tersebut datangnya dari pelaburan swasta, pastinya menimbulkan kemusykilan tatkala para pelabur bertindak menjauhi pasaran kita.

"Pemerintah harus sedar, kebijakan ekonomi yang menafikan perkara dasar serta gagal memberi keutamaan untuk melakukan perubahan terhadap sistem yang curang pastinya dipandang sepi."

"Secara tuntas saya tegaskan, para pelabur memberi keutamaan terhadap sistem keadilan yang bersih, iklim yang tidak rasuah dan culas serta kepimpinan negara yang meyakinkan."

"Pembentangan serta perincian dasar ekonomi namun menafikan perkara yang mendasar tersebut hanya akan disambut dingin. Malangnya hakikat
ini terus dinafikan elit pemerintah walau rakyat jelatalah yang menderita menahan beban," kata Anwar.

No comments: