Share |

Wednesday, 29 September 2010

Gambar Namewee dibakar: Dialog ditamatkan sebelum demo PERKASA surai

Kira-kira 70 orang anggota PERKASA berkumpul dan membakar gambar Namewee, sambil mengecam bahawa penyanyi rap kontroversi ini menghina Islam, lantas menuntut agar Namewee meminta maaf.  Demonstrasi ini berlangsung di luar bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur - Selangor (KL-SCAH), pada kira-kira 8.30 malam tadi.
Demonstrasi tersebut bertujuan untuk memprotes satu dialog antara Namewee dengan Ketua Eksekutif KL-SCAH, Tang Ah Chai yang sedang berlangsung di dalam dewan, bertemakan "Orang muda, mengapa kamu 'nah'?", bermula pada jam 8.15 malam.  Dialog anjuran Pemuda KL-SCAH ini telah menarik kehadiran kira-kira 400 orang.
"Namewee babi", "Namewee penakut", "Namewee tak ada telur", "Namewee pengkhianat" antara yang dilaungkan oleh anggota PERKASA yang berkumpul di luar.  Kira-kira 30 anggota polis diketuai ASP Dang Wangi, Kathrik.W berada di tempat kejadian untuk mengawal situasi.  Berbeza dengan demonstrasi yang lalu, polis hanya berunding dengan kedua-dua pihak sepanjang demonstrasi ini berlaku, tanpa menyuraikan peserta demonstrasi dengan kekerasan.
Selain mengibarkan bendera, dan gambar poster Namewee yang diubahsuai hidungnya menjadi hidung babi, PERKASA mengundang Namewee untuk berdialog, malah mendesak agar penganjur membatalkan dialog dalam dewan dengan segera, dan kedua-dua pihak iaitu Namewee dan penganjur harus meminta maaf.
Menurut perancang aktiviti ini, Teh Yee Keong, ASP Kathrik.W memberitahunya bahawa PERKASA menuntut agar penganjur memohon maaf dan menjelaskan mengapa mereka mengadakan aktiviti yang menghina Islam.  Bagaimanapun, Teh Yee Keong menafikan bahawa aktiviti yang dianjurkan dalam dewan itu "menghina Islam", tetapi melarang peserta demonstrasi merempuh masuk atas alasan bahawa bangunan KL-SCAH adalah kawasan milikan peribadi.
Namun demikian, Teh Yee Keong menekankan bahawa perhimpunan adalah hak anggota PERKASA, maka beliau hanya meminta agar polis membantu untuk menjaga keamanan.  Pintu pagar tempat meletak kereta di perkarangan bangunan KL-SCAH telah dikunci untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Sahabat Namewee dimaki sebagai "babi"
Ketua Wira PERKASA, Armand Azhar yang mengepalai demonstrasi ini mendakwa bahawa mereka mengadakan tindakan protes ini sebagai orang Malaysia.  Beliau menjerit mengarah ke dalam pagar, "Kalau kamu menghormati negara kita, suruh dia keluar memohon maaf...mengapa takut kalau tak bersalah?"
Kemudian, Armand Azhar (gambar kiri, tengah) memandang ke arah seorang pekerja lelaki dalam pagar, "Mengapa kamu memandang saya?  Kamu ada masalah dengan saya?  Kalau kamu ada masalah dengan saya, datang bersemuka dengan saya!"  (Why you looking at me?  You have problem with me?  If you have problem with me, come to my face.)
Arman Azhar seterusnya menyasarkan Namewee, "Berani dalam youtube, berani dalam media, now you come face to face, come see us!"
Beliau berulang kali menegaskan bahawa mereka menghormati semua kaum, agama, tetapi bukan mereka yang tidak menghormati agama orang lain.  Bahkan beliau mendakwa PERKASA tidak ada masalah dengan Cina, India, tetapi hanya bermasalah dengan Namewee.  "Namewee bukan orang Malaysia, kerana dia tidak menghormati negara kita.  Kami tidak menghormati Namewee, kerana dia tidak menghormati perpaduan!"
Biarpun PERKASA mendakwa diri mereka menghormati semua kaum, namun "Cina babi" kedengaran ketika demonstrasi dijalankan.  Apabila wartawan bertanya bilangan anggota PERKASA yang menghadiri demonstrasi ini, salah seorang peserta menyuruh wartawan "bilanglah sendiri, kamu ada mata".  Tetapi, Arman Azhar berkata, PERKASA menghormati wartawan.
Seorang sahabat Namewee yang berpakaian T-shirt tertera perkataan "No to Racism", dimarahi anggota PERKASA semasa beliau merakamkan kejadian di situ dengan kameranya.  Anggota PERKASA itu menengking, "Kamu cari dia (Namewee) dia datang! Kamu fan (peminat) dia?"  Malah, anggota PERKASA tersebut memaki sahabat Namewee dengan kata kesat Hokkien, dan berkata, "Saya nampak muka kamu macam babi!"
PERKASA mengetuk pagar dengan bendera yang dibawa, tetapi tidak mencederakan sesiapa.  Malah peserta demonstrasi membakar gambar poster Namewee sebagai tanda protes.
Membakar poster Namewee
Penganjur enggan tunduk kepada desakan PERKASA untuk membatalkan dialog dalam dewan dengan segera.  Bagaimanapun, penganjur terpaksa menamatkan forum yang menyaksikan dialog dua generasi ini lebih awal, tanpa membuka ruang untuk sesi soal jawab.  Forum ini melabuh tirai pada kira-kira jam 9.30 malam atas permintaan polis.
Ketua Pemuda KL-SCAH, Ng Chong Soon menyeru agar hadirin dalam dewan mengawal diri dan tidak membalas sebarang provokasi daripada pihak PERKASA.  Malah beliau meminta hadirin agar meninggalkan dewan dengan aman di bawah kawalan polis.
Bagaimanapun, peserta demonstrasi yang berada di luar masih tidak "puas hati" setelah forum ditamatkan, malah membakar gambar poster Namewee untuk kali kedua, sambil melaungkan "Namewee Babi!"
Akhirnya, peserta demonstrasi bersurai dari depan pintu pagar bangunan KL-SCAH, atas permintaan polis.
Namewee bagaimanapun enggan mengulas kejadian yang berlaku di luar dewan selepas aktiviti dalam dewan melabuh tirai.  "Bukan masalah saya, saya bukan orang politik," kata Namewee.
Berdepan dengan desakan PERKASA untuk meminta maaf, Namewee (gambar kanan) bagaimanapun berkata, ianya bukan sesuatu yang penting sama ada memohon maaf atau tidak.  "Apa yang paling penting, orang Malaysia tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah," ujarnya.
Namewee mendakwa dirinya yakin bahawa keselamatannya terjamin di bawah perlindungan polis.  Beliau bagaimanapun meninggalkan bangunan KL-SCAH pada kira-kira jam 10 malam, sambil dilindungi sahabatnya.
Forum yang bertemakan "Orang muda, mengapa kamu 'nah'?" ini dianjurkan sebagai salah satu aktiviti untuk Persidangan Kebangsaan Pemuda dan Mahasiswa-Mahasiswi.  Dialog ini mempertemukan dua orang dari dua generasi yang berlainan, iaitu Tang Ah Chai dengan penyanyi rap kontroversi, Namewee.  Pengacara forum ini adalah wartawan senior MerdekaReview, Wong Shu Qi.

No comments: