Share |

Saturday 17 July 2010

Wanita Penan dirogol diminta lapor kepada PBB

Berita Harian 


MIRI: Masyarakat Penan di pedalaman Baram, utara Sarawak dinasihat merujuk kes rogol yang didakwa membabitkan wanita dari kaum itu kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Telang Usan tanpa menghebahkannya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengelak diputar belit.

Ketua Pemuda PBB Telang Usan, Dennis Ngau Jok, berkata wanita Penan perlu berani dan tampil dengan bukti kukuh bagi memudahkan tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang didakwa melakukan jenayah itu.

“Kita mahu wanita Penan yang mendakwa menjadi mangsa rogol melaporkan perkara itu kepada PBB Telang Usan bagi memudahkan kita membantu pihak berkuasa menyelesaikan isu ini.

“Kita sedia membantu menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sejak akhir-akhir ini, isu kes rogol dan eksploitasi seks membabitkan wanita Penan di Baram, mencetuskan pelbagai reaksi parti politik dan NGO.

Dennis berkata, pihaknya kesal kerana kebanyakan aduan membabitkan kes rogol dan eksploitasi seks disalurkan adalah kepada NGO.

“Kebanyakan aduan dibuat kepada NGO di mana tiada penyelesaian diambil melainkan kenyataan yang hanya mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Sehubungan itu, Dennis meminta isu membabitkan wanita Penan diatasi secara profesional bagi mengelak dipolitikkan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi.

No comments: