Share |

Tuesday 6 July 2010

Peguam Negara kaji Kanun Keseksaan

Utusan Malaysia 


KUALA LUMPUR 5 Julai - Jabatan Peguam Negara masih mengkaji Seksyen 309A dan 309B, Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan membunuh dan membuang bayi sebelum sebarang cadangan pindaan ke atasnya dibuat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ini memandangkan pihak tersebut perlu memperhalusi semua perkara sebelum sebarang keputusan diambil.

Bagaimanapun, katanya, akta yang ada sekarang tidak hanya mensabitkan wanita dengan kesalahan dan hukuman malah lelaki atau bapa yang menjadi punca bayi dibunuh atau dibuang itu turut disiasat dan disabitkan kesalahan.

"Kementerian juga meminta polis menjalankan siasatan ke atas lelaki atau bapa yang terlibat supaya dihadapkan ke pengadilan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Promise Me anjuran The Truly Loving Company (TLC) di Bangsar Shopping Centre di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kelana Jaya semalam yang mahu kerajaan menyemak semula peruntukan Seksyen 309A dan 309B kanun itu kerana ia hanya mensabitkan kesalahan membunuh dan membuang bayi ke atas wanita.

Shahrizat dalam ucapannya menyambut baik usaha TLC dalam membantu kerajaan untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik.

No comments: