Share |

Tuesday 27 July 2010

Kenyataan Akhbar: Cukup sudah 50 tahun: Mansuhkan ISA dan lain-lain undang-undang penahanan tanpa bicara serta peruntukkan keselamatan yang kuno

Image 1 Ogos 2010 menandakan ulangtahun ke-50 berkuatkuasanya Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (AKDN).  AKDN membenarkan kuasa menahan seseorang tanpa perlu dibicarakan yang melanggar hak asasi untuk dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah.

Majlis Peguam pada 19 Julai 2010 telah mengemukakan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri menuntut pemansuhan AKDN serta undang-undang lain yang membenarkan penahanan tanpa bicara, iaitu Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.  Memorandum tersebut turut menuntut Kerajaan Malaysia memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Buang Negeri 1959.

Memorandum Majlis Peguam menarik perhatian kepada sifat kuno perundangan-perundangan tersebut.  Memorandum itu menyerlahkan bagaimana undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia yang diperuntukkan dalam Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948 dan konvensyen-konvensyen antarabangsa lanjutan dari itu.  Ia turut membandingkan undang-undang anti-keganasan dalam bidangkuasa-bidangkuasa lain seperti Australia, Canada, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang kesemuanya menyediakan peruntukkan menyeluruh bagi melindungi keselamatan negara masing-masing tanpa mengabaikan ciri-ciri perlindungan kebebasan individu dan hak asasi manusia.  Ini telah dipastikan melalui gabungan beberapa ciri seperti klausa ‘sunset’ yang otomatik, pengawasan kehakiman dengan peruntukkan perahsiaan dan hak mendapatkan khidmat guaman.  Undang-undang Malaysia seharusnya turut memperuntukkan perlindungan yang sama.

Memorandum Majlis Peguam menegaskan bahawa peruntukkan undang-undang Malaysia melalui Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah yang telah dikukuhkan serta peruntukkan imigresen, perundangan untuk pencegahan pengubahan wang dan pencegahan pembiayaan keganasan sudahpun memberi kuasa yang cukup kepada agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang untuk menangani cabaran yang dihadapi dari aktiviti jenayah sedemikian, namun pada masa yang sama membolehkan seseorang itu didakwa menurut proses undang-undang yang sewajarnya.  Kuasa menahan tanpa bicara dan menyekat pergerakan bebas adalah langsung tidak perlu dan hanya akan menjurus kepada sikap melakukan siasatan secara acuh tak acuh serta menyebabkan salahguna dan penyalahgunaan undang-undang.

Memorandum tersebut boleh dimuat turun di sini.

Badan Peguam Malaysia menuntut agar Kerajaan Malaysia menghormati dan menegakkan hak asasi manusia rakyatnya.  Sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu 2010-2013, Malaysia kini terikat dengan tanggungjawab menegakkan suatu piawaian hak asasi yang tertinggi.  Ini akan hanya dicapai melalui pemansuhan kesemua undang-undang yang melanggar prinsip-prinsip hak-hak asasi manusia seperti AKDN dan lain-lain perundangan yang membolehkan penahanan tanpa bicara serta penyekatan kebebasan bergerak rakyat di dalam kawasan sempadannya sendiri.  Cukup sudah 50 tahun hidup di bawah AKDN (dan tempoh lebih panjang di bawah sebahagian peruntukkan-peruntukkan yang lain).  Sekaranglah masanya untuk membebaskan rakyat Malaysia dari undang-undang yang tidak saksama atau adil.


Ragunath Kesavan
Presiden
Badan Peguam Malaysia

No comments: