Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
Rentetan daripada isu perarakan Maulidur Rasul yang timbul baru-baru ini, maka saya dengan ini mencadangkan agar semua agama tidak benarkan menggunakan jalanraya untuk sebarang upacara keagamaan sehingga mengganggu pengguna jalanraya yang lain.
Semua agama bererti bukan sahaja orang Islam, tetapi juga Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain. Berikut adalah alasan-alasan kepada cadangan ini;
a) Jalanraya tidak diwujudkan untuk upacara keagamaan. Sebaliknya untuk kemudahan penggunanya yang ingin menuju ke destinasi masing-masing. Juga di Malaysia rakyat membayar cukai jalan untuk tujuan itu, bukan untuk upacara keagamaan.
b) Tiada teks mana-mana agama yang menyatakan disuruh menggunakan jalanraya untuk melakukan upacara agama. Upacara agama yang hanya membabitkan pengikut agama masing-masing sepatutnya dibuat di tempat ibadah agama masing-masing, atau tempat yang dimiliki atau disewa untuk upacara tersebut.
c) Menggunakan jalanraya untuk upacara keagamaan boleh menyebabkan kesesakan, atau ditutup laluan. Ini mengganggu, bahkan merampas hak pengguna lain yang tidak terlibat dengan upacara tersebut.
d) Kesesakan jalanraya yang disengajakan seperti ini boleh menyebabkan pembaziran minyak, waktu, menghalang rawatan orang sakit, menghalang urusan penting orang lain dan berbagai lagi. Islam tidak membenarkan penganutnya berbuat demikian, juga semua agama yang menghormati masyarakat awam tidak mungkin boleh membenarkan hal seperti ini.
e) Gangguan kepada pengguna jalanraya yang lain boleh menimbulkan perasaan tidak senang, atau kebencian terpendam antara penganut agama. Seorang muslim mungkin akan tidak puas hati apabila perjalanannya terhenti disebabkan upacara agama lain yang dibuat atas jalanraya raya. Demikian juga perasaan penganut agama-agama lain.
f) Sesetengah upacara keagamaan telah mengotor atau mencemari kebersihan jalanraya yang mengganggu pemandangan orang awam. Juga menyusahkan pihak majlis perbandaran untuk membersihkan upacara agama yang tidak kongsi oleh semua masyarakat itu.
g) Tenaga pihak Polis, Perbandaran, RELA dan berbagai lagi terpaksa digunakan untuk menjaga upacara keagamaan seperti ini. Sedangkan kita tahu bahawa bukan semua anggota-anggota yang bertugas itu seakidah, atau seagama dengan upacara tersebut. Ia boleh mengganggu perasaan dan rasa kurang senang dari masa ke masa.
Dengan alasan-alasan ini, juga beberapa rasional yang lain, saya berpendapat amat tidak wajar jalanraya dijadikan tempat perarakan keagamaan mana-mana agama. Jika perhatian ini cuba diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya melihat Kerajaan Selangor patut memberikan perhatian yang sama terutama di Kawasan Batu Caves. Ini bukan kenyataan yang berat sebelah, tetapi terpakai untuk semua agama.
No comments:
Post a Comment