Share |

Saturday 30 January 2010

Keputusan Pemangku Raja Kelantan tidak boleh diadili - Hakim

Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 29 Jan. - Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini gagal dalam cubaannya mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan kekandanya Tengku Muhammad Faris Petra yang memecat beliau daripada senarai bakal pewaris takhta.

Ini kerana Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof terlebih dahulu memutuskan bahawa keputusan Tengku Muhammad Faris yang memecat Tengku Temenggong Kelantan itu pada 16 September tahun lalu, tidak boleh diadili.

''Mahkamah ini tidak sesuai dijadikan forum untuk memutuskan isu-isu berkaitan kuasa prerogatif yang telah diputuskan oleh Pemangku Raja. Jika berlaku sebarang pertelingkahan mengenainya, ia perlu diselesaikan sendiri oleh Raja Kelantan.

''Perkara 62 Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan telah menzahirkan maksud yang sama bahawa prosiding di mahkamah tidak akan menjejaskan hak, kuasa diraja, bidang kuasa Sultan serta kedaulatannya,'' jelas beliau.

Oleh kerana isu tersebut secara dasarnya menyentuh hak keistimewaan diraja, maka pada hemat Hakim Mohamad Ariff, ia tidak sesuai untuk disemak semula menerusi permohonan di mahkamah.

Selain itu, hakim berkenaan menyatakan, Perkara 5 undang-undang yang sama telah menjelaskan peranan Pemangku Raja untuk menjalankan kuasa-kuasa yang perlu tanpa sebarang had sepanjang Raja tidak berada di dalam negeri.

Majlis Perajaan Negeri Kelantan, menurut beliau, bertanggungjawab menentukan adakah berlaku kekosongan takhta ekoran ketiadaan Raja Kelantan bagi tempoh melebihi satu tahun.

Selaras dengan keputusan itu, Hakim Mohamad Ariff memerintahkan supaya Tengku Muhammad Fakhry selaku pemohon membayar kos kepada kekandanya yang dinamakan sebagai responden.

Pemohon dijangka memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut.

Pada 16 September tahun lalu, Tengku Muhammad Faris Petra selaku Pemangku Raja telah melucutkan keanggotaan Tengku Muhammad Fakhry daripada senarai bakal pewaris takhta.

Putera ketiga Raja Kelantan, Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra itu telah memfailkan permohonan pada 1 Disember tahun lalu bagi mendapatkan kebenaran untuk mencabar keputusan kekandanya menerusi prosiding semakan kehakiman.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, yang juga suami kepada Manohara Odelia Pinot memohon perisytiharan bahawa keputusan Tengku Muhammad Faris yang melucutkan keanggotaannya daripada Majlis Perajaan adalah bercanggah dengan Perkara 7 Perlembagaan Kelantan.

Selain Tengku Muhammad Faris, pemohon turut menamakan lima responden lain iaitu Datuk Hashim Yusoff; Datuk Tengku Salwah Sultan Yahya Petra; peguam Datuk Sukri Mohamed; Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh dan Kolonel Dr. Mohammad Razin Kamarulzaman.

No comments: