Share |

Sunday 25 October 2009

Permohonan Uthayakumar ditentu 27 Oktober

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Permohonan Penasihat Undang-Undang Hindraf, P. Uthayakumar supaya kesnya di bawah Akta Hasutan 1948 dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi akan ditentukan pada 27 Oktober ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menetapkan demikian selepas mendengar hujah peguam N. Surendran dan M. Manogaran yang mewakili Uthayakumar serta hujah balas Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonan Uthayakumar selaku pemohon, beliau menyatakan isu penghapusan etnik adalah isu yang rumit, unik dan tidak pernah diputuskan oleh mana-mana mahkamah di negara ini.

Justeru, katanya, Hakim Mahkamah Tinggi yang lebih layak mendengar perbicaraan kes tersebut.

Uthayakumar juga memohon supaya Akta Hasutan diisytiharkan sebagai tidak sah dan ingin mencabar isu perlembagaan yang timbul.

Lagi pun menurut pemohon, beliau sedang membuat persiapan untuk membawa saksi-saksi dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang pakar dalam penyiasatan kes-kes penghapusan etnik.

Noorin ketika membalas hujah menyifatkan semua isu yang ditimbulkan sepatutnya dikemukakan oleh Uthayakumar melalui bantahan awal pada peringkat permulaan kes dan bukannya pada tahap ini.

Tambahnya, isu penghapusan etnik bukan isu yang rumit hinggakan sukar difahami oleh Hakim Mahkamah Sesyen kerana mereka berpengalaman luas.

Pada 11 Disember 2007, Uthayakumar, 48, didakwa menerbitkan sepucuk surat menghasut di laman sesawang police watch yang mempunyai alamat web http:// policewatchmalaysia.com oleh Hindraf yang beralamat di No. 135-3-A, Jalan Toman 7, Kemayan Square Seremban, Negeri Sembilan.

Surat bertarikh 15 November 2007 itu telah dialamatkan kepada Perdana Menteri Britain, Rt. Hon. Gordon Brown, 10 Downing Street.

Uthayakumar didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 15 November dan 8 Disember 2007 di No.8-10-5 Menara Mutiara Bangsar, Jalan Liku persimpangan Jalan Riong, Bangsar di sini.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) akta tersebut yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Malaysia Protests

No comments: