Source: Agenda daily,

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang tiba di tanah air pagi Selasa dari lawatan ke luar negara diberikan taklimat mengenai kes kematian setiausaha politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Taklimat ringkas kira-kira setengah jam itu itu disampaikan oleh Musa yang turut diiringi oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar di bilik khas di balai ketibaan Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

“Kita beri taklimat tentang kes ini, semua aspek" katanya tetapi apabila ditanya apakah reaksi Najib, Musa berkata “itu kena tanya beliau”.

Najib tiba di KLIA selepas menghadiri sidang Pergerakan Negara-Negera Berkecuali (NAM) di Mesir dan lawatan kerja ke Arab Saudi. Turut menyambut ketibaan beliau ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Teoh ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam Khamis lalu selepas menghadiri siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor (SPRM).

Mengulas mengenai perkembangan siasatan kes kematian Teoh, Musa memberitahu wartawan, siasatan dijangka akan dapat diselesaikan dalam masa beberapa hari lagi.

Serentak dengan itu beliau mengingatkan agar tiada pihak yang cuba menimbulkan ketegangan atau memutar belitkan fakta berhubung dengan kes berkenaan.

"Kita sedang jalankan siasatan. Kalau nak tuduh tanpa berdasarkan siasatan, saya rasa itu tidak betul," katanya sambil menegaskan polis akan menggunakan peruntukan undang-undang yang ada sekiranya ada pihak yang cuba menimbulkan ketegangan ekoran insiden berkenaan.

Sementara itu Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein selepas merasmikan pembukaan Balai polis di Ara Damansara berkata, polis akan memanggil 40 orang awam lagi untuk memberikan keterangan berhubung dengan kematian Teoh dalam usaha melengkapkan siasatan.

“Sebelum ini, siasatan kita menjurus kepada bangunan, bilik siasatan dan lokasi mayat mendiang ditemui,” katanya sambil memberitahu sehingga semalam polis telah mengambil keterangan daripada 33 orang termasuk 25 pegawai dan anggota SPRM.