Share |

Tuesday 12 May 2009

Sepuluh Tiada Sijil Lahir

KLANG: Kejahilan ibu bapa selain masalah keluarga dikesan menjadi punca apabila sebahagian kanak-kanak di rumah Lot, Jalan Tap, dekat Kapar, di sini, gagal mendapat sijil kelahiran, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan persekolahan seperti kanak-kanak sebaya yang lain.

metro-sepuluh-tiada-sijil-lahir

Difahamkan, di kawasan perumahan terbabit ada antara lima hingga 10 kanak-kanak berusia tujuh hingga 15 tahun tiada sijil kelahiran.

Kebanyakan mereka adalah anak pekerja Estet Bukit Raja yang dipindahkan ke situ berikutan estet terbabit ditutup untuk dijadikan kawasan perumahan.

Rahimah Abdullah, 30, berkata tiga daripada lima anaknya tiada sijil kelahiran kerana masalah kewangan selain tidak tahu prosedur mendaftarkan kelahiran.

Dia yang berkahwin dengan lelaki Bangladesh berkata, masalah bertambah rumit apabila suaminya pulang ke negara asal lima tahun lalu, menyebabkan dia terpaksa menanggung segala perbelanjaan harian keluarganya.

“Bagaimanapun, usaha saya melalui pejabat Ahli Parlimen Kapar untuk mendapatkan sijil kelahiran bagi dua anak saya kini dalam proses akhir dan dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

“Cuma saya risaukan seorang lagi anak saya berusia tujuh tahun kerana proses mendapatkan sijil kelahiran agak lama, dan saya kini bergantung sepenuhnya kepada pejabat Ahli Parlimen untuk membantu supaya dia dapat bersekolah,” katanya di sini, semalam.

A Kamachi, 34, mendakwa tiga daripada 11 anaknya juga tiada sijil kelahiran dan masalah itu berlaku selepas suaminya menghilangkan diri tujuh tahun lalu.

“Anak saya kini berusia 11, 12 dan 14 tahun tidak bersekolah kerana tiada dokumen mengesahkan dia warganegara.

“Walaupun saya ada kad pengenalan, ia hilang ketika saya berpindah ke sini dari Estet Bukit Raja, lima tahun lalu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, G Muniamah, 59, mendakwa anak bongsunya tiada sijil kelahiran, namun lima lagi anaknya mempunyai sijil kelahiran sah.

Dia yang disahkan menghidap penyakit tibi dan kencing manis berkata, dia kini bergantung sepenuhnya kepada wakil rakyat kerana tiada wang dan buta huruf.

“Apa yang diberitahu pejabat wakil rakyat, permohonan anak saya yang kini berusia 16 tahun dalam proses dan dia juga sudah ditemuduga,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, berkata masalah dihadapi penduduk, terutama di Jalan Tap, rumit kerana hampir 90 peratus daripada mereka buta huruf.

Menurutnya, selain itu masalah keluarga dan perkahwinan tidak didaftarkan antara penyebab anak tidak dapat didaftarkan sebagai warganegara.

“Melalui rekod yang kita terima, hampir 500 kes di kawasan ini membabitkan masalah tiada sijil kelahiran dan kad pengenalan.

“Kebanyakan mereka adalah pekerja estet yang berpindah ke penempatan baru selepas estet lama ditutup untuk dibangunkan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Manikavasagam, pihaknya menyelesaikan hampir 200 kes dan yakin masih ramai lagi tiada sijil kelahiran atau kad pengenalan kerana buta huruf dan miskin.

Sumber : Metro Harian

No comments: