Share |

Sunday 3 May 2009

Mampukah Melayu berdikari bebas dari Umno?

[Terjemahan daripada bahasa Inggeris sepucuk surat kepada pengarang, Malaysiakini]

Merujuk kepada rencana Malaysiakini yang bertajuk “Why Malaysia is not like South Africa” dan surat bertajuk “Immorality of de facto apartheid must go”.

Umno berfungsi seperti Parti Nasionalis Afrikaner Broederbond di mana ia bertujuan memaktubkan ketuanan kaum dengan menguatkuasakan kuota berdasarkan perkauman di Malaysia. Setiap orang Perdana Menteri di Afrika Selatan merupakan ahli Broederbond sehinggalah munculnya Nelson Mandela [memegang jawatan presiden].

Umno faham benar apa yang akan menyemarakkan jiwa Melayu dan Muslim untuk mengundi parti tersebut. Kaum Melayu-Muslim di Malaysia sering diberitahu oleh Umno yang mereka tidak mampu bersaing dengan kaum Cina atau India, justeru itu mendalamkan lagi perasaan yang kaum Melayu bertaraf lebih rendah dari kaum yang lain.

Kaum Melayu-Muslim di Malaysian sering diberitahu oleh Umno yang kaum bukan-Melayu dan bukan-Muslim mencapai kejayaaan dengan memijak atas mereka, justeru itu mendalamkan lagi perasaan dendam dan fikiran bahawa mereka adalah 'mangsa'.

Kesungguhan merebut gelaran tersohor “Jaguh Mangsa (sesuatu kaum)” di Malaysia nampak nyata sekali apabila Umno diberi ruang dan peluang bebas untuk mengadakan perhimpunan ataupun berhimpun membuli OKU bukan-Melayu dan bukan-Muslim yang sudah berumur dan menaiki kerusi roda, tetapi penyokong Hindraf (dan bukan hanya sekadar ahli-ahli Hindraf sahaja) diserang dengan meriam air, dibelantan dan dihumban ke dalam penjara tanpa perbicaraan di bawah Akta ISA apabila berhimpun di tempat awam, ataupun diberkas polis hanya kerana memakai kemeja Hindraf.

Tindakbalas keterlaluan ini oleh Polis Di Raja Malaysia adalah dijangkakan. [Mereka terpaksa bertindak sedemikian demi melindungi kepentingan Umno] terutamanya kerana kaum India Hindraf kelihatan seperti mangsa yang tulen, berbanding dengan ahli-ahli Umno berkereta besar, memiliki bot mewah dan yang merupakan tuanpunya mahligai-mahligai di Kelang – kesemua ini membuat mereka kelihatan seperti ahli-ahli parti Broederbond pemilik ladang besar yang diusahakan oleh hamba-hamba. Atau ahli-ahli Umno ini hipokrit yang paling besar di dunia.

Saya hanya boleh membuat kesimpulan bahawa memperjuangkan status kemangsaan dan memberikan gambaran siapa lebih dipersalahkan di Malaysia adalah isu dasar demi menjaga periuk nasi serta memenangi undian untuk Umno.

Pada hakikatnya, sokongan politik untuk Parti Nasionalis Afrikaner Broederbond dan dasar 'apartheid'nya di antara kaum Afrikaner-Boers wujud dengan cara dan sebab yang sama kenapa wujudnya sokongan politik untuk dasar 'apartheid'-bumiputera-Ketuanan Melayu-NEP Umno di antara kaum Melayu-Muslim di Malaysia

Kaum Melayu-Muslim sering diberitahu oleh Umno yang perbezaan antara cara melayan orang berdasarkan warna kulit adalah wajar dan munasabah. Di Malaysia, kepadatan kuota perkauman kini memberikan segala yang diberikan kepada kaum Boer-Afrikaner di bawah sistem apartheid dahulu.

Secara positifnya, terdapat ramai kaum kulit putih di Afrika Selatan yang dapat menilai tujuan sebenar dasar apartheid, sepertimana di Malaysia ramai kaum Melayu-Muslim di PAS dan PKR yang boleh menilai tujuan sebenar dasar kuota perkauman Umno – iaitu ia merupakan dasar apartheid sebenar yang tidak bermoral, bersifat perkauman, menghina dan memudaratkan jiwa yang hanya akan memanfaatkan mereka yang ingin mengaut undi demi kepentingan diri.

Halatuju untuk masa depan Malaysia di tangan kaum Melayu, yang kini perlu memutuskan sama ada mereka masih ingin meneruskan sistem apartheid di Malaysia di mana kuota perkauman diutamakan di dalam cara hidup negara Malaysia.

Mampukah rakyat Melayu jelata mengatasi perasaan yang dirinya diancam, perasaan dendam antara kaum, kemangsaan kaum dan rendah diri yang dipupuk oleh Umno selama 50 tahun? Sehingga hari ini, Umno masih lagi berfikir yang kaum Melayu-Muslim tidak mampu berdikari, bebas dari perlindungan Umno.

Perasaan yang dirinya terancam oleh kaum lain, tidak puashati, kemangsaan kaum dan tiada keyakinan diri yang dipupuk oleh Umno dan Broederbond inilah yang mendorong ramai orang yang lazimnya berfikiran telus – termasuk kaum Boer di Afrika Selatan dan kaum Melayu-Muslim di Malaysia – untuk membuat pilihan yang jelas tidak betul dengan mengundi menyokong dasar aparteid, perkauman, prejudis, dan ketidakadilan.

Sebagai seorang bukan Melayu-Muslim, sepatutnya saya tidak berhak bersuara di dalam perkara ini kerana pada pandangan Umno, saya patut menerima apa sahaja peranan yang disediakan oleh Umno yang dipupuknya di dalam minda Melayu-Muslim. Saya ditegur untuk hanya tujukan komen saya kepada had dan batasan budaya remeh saya sendiri supaya perasaan kaum Umno-Broederbond tidak terkilan dengan komen saya yang seolah-olah tidak menghargai jasa Umno.

Akan tetapi saya berfikiran bahawa jika kebanyakan kaum Melayu-Muslim di Malaysia gagal mengatasi perasaan yang kaumnya terancam, gagal mengatasi cabaran, gagal menghormati rakyat Malaysia pelbagai kaum, gagal melindungi hak saksama semua rakyat Malaysia, hak saingan bebas, dan meritokrasi, dan masih tidak mengharamkan prejudis perkauman dan racisme dalam sistem pemerintahan, maka kita semua – Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, dan lain-lain – akan pupus bersama-sama.


Surat bertajuk 'Can Malays cut umbili­cal cord to Umno' di atas dikarang oleh seorang pembaca Malaysiakini yang menggelarkan dirinya 'DoRightNoMatterWhat' pada Mac 31, 2009.

No comments: