Setelah kekayaan Negara serta rakyat disapu oleh segelintir manusia yang berkuasa melalui projek-projek mega yang diswastakan, yang ada kini ialah sebuah Negara tidak amanah, tidak bersih, tidak cekap. Sebuah Negara korup, makin hari makin mundur yang memerlukan perubahan drastik dan bernas.
By Koh Swe Yong, Setiausaha Agung PRM
Sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, Najib Tun Razak melaungkan konsep “Satu Malaysia” dan “perubahan” sebagai halatuju pemerintahannya.
Untuk memperlihatkan beliau adalah serius tentang laungannya, PM baru Najib Tun Razak membuat kejutan dengan membebaskan 13 orang tahanan ISA, memulihkan lesen penerbitan Harakah dan Suara Keadilan, mengkaji semula ISA dan membuat lawatan ke 3 tempat rakyat pelbagai kaum tertumpu iaitu Jalan Petaling, Kampung Kerinci dan Brickfield di Kuala Lumpur.
Walaupun Perdana Menteri Baru Malaysia Najib Tun Razak memperlihatkan wawasannya dan menjelmakannya dengan tindakan, tetapi reaksi di khalayak umum masih was-was.
Terhadap kritik, beliau berkata perbuatan demikian demi rakyat dan komitmennya mewujudkan perubahan untuk mengharungi keadaan genting di dalam dan di luar negara, bukannya gimmick politik atau untuk meraihkan sokongan terhadap dirinya dan UMNO.
Parti Rakyat Malaysia berpendapat penafian PM baru ini tidak meyakinkan. Perdana Menteri Najib Tun Razak perlu mengambil tindakan yang lebih konkrit untuk membuktikan beliau adalah komited terhadap perubahan dan menjaga kebajikan rakyat Negara ini.
Untuk tujuan tersebut, PRM mencadangkan:
Pertamanya, Najib Tun Razak harus membubarkan DUN negeri Perak dan mengadakan pilihanraya umum di negeri tersebut sebagai jalan untuk menyelesaikan krisis di sana.
Kedua, meminda Perlembagaan Negara untuk melarang tindak-tanduk lompat-melompat oleh wakil rakyat yang melakukannya hanya demi kepentingan peribadi serta menghormati keputusan pilihan raya PRU ke-12, iaitu tidak mencuba dengan bantuan katak-katak untuk mendapatkan balik kuasa pemerintahan di negeri di bawah Pakatan Rakyat. Mana-mana wakil rakyat yang telah melompat parti atau mengisytiharkan diri bebas akan dengan sendirinya hilang kelayakan wakil rakyat dan pilihanraya kecil harus diadakan untuk membiarkan pengundi menentukan siapa yang akan mewakili mereka.
Ketiga, menghentikan usaha menswastakan perubatan, hospital awam dan universiti awam, memansuhkan penswastaan kemudahan asas seperti lebuhraya, air, api, petroleum, telekom serta dasar PPSMI yang sejak pelaksanaannya menemui tentangan hebat daripada rakyat kecuali golongan elit yang berkuasa. Kesemua kemudahan asas ini setelah sekian lama diswastakan, bukan saja tidak memanfaatkan rakyat khususnya rakyat berpendapatan sederhana dan rendah, bahkan telah jelas amat membebankan kehidupan seharian rakyat jelata, apa lagi pada ketika Negara dilanda krisis demi krisis.
Sekiranya saranan di atas tidak dapat dilaksanakan oleh Najib Tun Razak dan barisan pimpinan baru UMNO, tidak usahlah mengharapkan perubahan di bidang lain seperti kehakiman, pasukan Polis, mansuhkan ISA dan dasar ekonomi mega untuk mengkayakan kroni. Kata-kata komitmen dan untuk rakyat tidak lain daripada kata-kata kosong seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelumnya.
Padahal, rakyat telah menaruh harapan besar kepada wawasan yang dirangka oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi.
Rakyat masih ingat, semasa Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai PM, beliau telah mencetuskan harapan besar di kalangan rakyat dengan bermacam-macam wawasan , antaranya ialah dasar pemerintahan ABC iaitu “amanah, bersih dan cekap” dan dasar penswastaan kemudahan asas yang kononnya menguntungkan rakyat; sementara Abdullah Ahmad Badawi dengan imej Mr Clean dan janji-janji good governance dan bersih, juga untuk rakyat, tetapi apakah kesudahannya?
Setelah kekayaan Negara serta rakyat disapu oleh segelintir manusia yang berkuasa melalui projek-projek mega yang diswastakan, yang ada kini ialah sebuah Negara tidak amanah, tidak bersih, tidak cekap. Sebuah Negara korup, makin hari makin mundur yang memerlukan perubahan drastik dan bernas.
Rakyat pernah menaruh harapan besar terhadap slogan-slogan indah, tetapi akhirnya apa yang rakyat terima ialah kehampaan besar.
Kini, apa yang tinggal untuk rakyat ialah timbunan masalah yang perlu diselesaikan dengan segera. Yang terjadi ialah BN dinyahkan kuasa pemerintah di lima buah negeri pada PRU ke-12.
Oleh sebab UMNO-BN masih menguasai kerajaan pusat, Negara ini telah memasuki zaman ketakstabilan dan riuh rendah. Bermacam-macam insidens rakyat saksikan berlaku dalam masyarakat ini sejak PRU ke-12.
Pada hemat PRM, Najib Tun Razak dan UMNO akan mengikuti jejak mantan-mantan PM, apa-apa yang dilakukan beliau adalah tidak lain daripada tindak-tanduk mantan PM Dr Mahathir Mohamad, indah khabar daripada tindakan. Perubahan hanya tinggal kata-kata sahaja.
Oleh itu, rakyat perlu berwaspada dan meningkatkan ikhtiar untuk menyahkan UMNO-BN dari tampuk kuasa pusat. Katak-katak akan melompat ke BN di bawah PM baru. Jika tiada katak-katak, PM baru akan juga sedaya-upaya mengumpan. Selagi UMNO-BN berada di tampuk kuasa pusat, selagi itu rakyat Negara ini akan hidup dalam atmosfera sengsara, tidak tenteram dan aman.
No comments:
Post a Comment