(Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan sokongan semua kaum apabila mengeluarkan kenyataan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua komuniti tanpa mengira agama dan bangsa.
Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin mendakwa sikap terdesak Najib itu timbul apabila kedua-dua pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang mana sokongan daripada masyarakat Cina dan India dilihat tidak berpihak kepada BN.
Shamsul juga berpandangan, sewaktu pilihan raya tersebut juga dapat dilihat sokongan Melayu juga berkurangan. Justeru kenyataan Najib yang akan menyatupadukan rakyat berasaskan konsep Satu Malaysia juga banyak menimbulkan kecelaruan.
Jelas Shamsul konsep 'Satu Malaysia' yang diketengahkan Najib bukan satu konsep yang baru yang menimbul pertikaian konsep tersebut menyamai konsep 'Malaysian Malaysia' yang dibawa DAP.
"Persoalan yang timbul juga apa asas kepada konsep 'Satu Malaysia. Pakatan Rakyat meletakkan keadilan untuk rakyat itu sebagai asas. Bermakna jika sesuatu kaum itu miskin, kita bantu. Dan jika sesuatu kaum itu kaya, kita menghulurkan bantuan untuk sesuatu kaum yang lain. Itu merupakan asas kepada konsep Pakatan Rakyat dalam mengurus tadbir negara.
"Dan ini yang saya lihat kekurangan daripada gagasan Najib. Dan jika Islam Hadhari yang diungkapkan Abdullah itu gagal, slogan yang diungkap Najib juga tidak ada penjelasan dan asasnya. Seterusnya ia akan menjadi slogan politik semata-mata. Ia tidak akan menyelesaikan masalah,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily.
Dalam pada itu, Shamsul juga berpandangan perubahan yang ingin dilakukan Najib seharusnya bukan sekadar kosmetik sebaliknya mesti melibatkan soal dasar, prinsip dan perubahan kepada struktur.
Individu rasuah dikekalkan
Sementara itu mengulas mengenai 'amaran' Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar semua parti komponen BN tidak membuat kenyataan terbuka berhubung isu pelantikan wakil masing-masing dalam barisan Kabinet baru, Shamsul mempersoalkan asas pelantikan dalam kabinet yang dilihat masih mengekalkan individu yang dilihat tidak 'bersih'.
"Najib mengumumkan senarai kabinet adalah muka-muka baru tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan individu yang terpalit dengan rasuah. Harus ada kejujuran politik dalam pemilihan kabinet ini. Najib dan Muhyidin harus menjelaskan rasional perlantikan mereka dalam kabinet,"katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung MIC yang juga Menteri Sumber Manusia, Dato' Dr S Subramaniam mengakui parti itu kecewa kerana tidak diberi sebarang tambahan jawatan dalam Kabinet, sedangkan Gerakan mendapat tambahan satu menteri, manakala MCA satu timbalan menteri.
"Jadi, MIC berhak menyatakan pandangan apa rasional presiden Gerakan dan MCA dilantik, sebaliknya Presiden MIC tidak dilantik. Ini masalah yang dihadapi jika masih berpegang pada konsep politik perkauman.
" Apabila adanya politik perkauman, mereka akan anggap mereka adalah juara kaum India. Maka mereka akan jadi menteri. Dengan menjadi menteri, mereka beranggapan mereka boleh membantu kaum India. Tetapi menteri kabinet di Malaysia bukan khusus untuk membantu sesuatu kaum. Perkara ini gagal difahami oleh pemimpin-pemimpin BN, justeru timbul isu seperti ini,"tegasnya.
No comments:
Post a Comment