Share |

Monday 16 March 2009

Wakil rakyat DAP digantung tugas setahun isu Najib-Altantuya - Malaysiakini

kemaskini 12.50pm Usul yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz untuk menggantung ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo selama setahun diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

Usul tersebut diluluskan melalui undi mulut selepas dibahas selama kira-kira 40 minit. Sewaktu pengundian dijalankan, kesemua ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan sebagai membantah.

Usul tersebut dibentangkan pada kira-kira jam 11.30 pagi di hadapan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pembentangan usul tersebut dibantah keras oleh pembangkang, sehingga menimbulkan kebuntuan hampir satu jam.

Pandikar hanya dapat mengawal keadaan pada kira-kira 12.30 tengahari dan membenarkan ahli parlimen membahaskan usul tersebut.

Usul dibentangkan terhadap Gobind kerana dianggap menghina dewan berhubung tuduhannya terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Minggu lepas anak lelaki Pengerusi DAP Karpal Singh digantung sehari.

Teks lengkap usul seperti berikut:

1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mencadangkan:

Bahawa pada 12 Mac 2009, Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, ahli parlimen kawasan Puchong semasa perbahasan peringkat
Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendakwa YAB timbalan perdana menteri, ahli parlimen kawasan Pekan terlibat dalam kes pembunuhan.

Bahawa Yang Berhormat ahli parlimen kawasan Puchong juga telah
mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghina Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat setelah diperintah keluar Dewan.

Dan bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat ahli parlimen kawasan Puchong adalah merupakan satu dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai ahli parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini.

Maka inilah dipersetujui bahawa Yang Berhormat ahli parlimen
kawasan Puchong hendaklah digantung tugas dari jawatannya sebagai ahli parlimen selama dua belas (12) bulan dari tarikh keputusan usul ini diluluskan.

Dalam masa penggantungan ini Yang Berhormat ahli parlimen
kawasan Puchong tidak akan dibayar kesemua bayaran elaun dan
kemudahan sebagai seorang Ahli Parlimen.

No comments: