Share |

Monday 26 January 2009

UNTUK SIARAN MEDIA: Kenyataan Media Ahli Parlimen Kelana Jaya pada 24 Januari

Ketua Polis Negeri Perlu Bercuti Sehingga Siasatan Selesai
Saya menyeru supaya Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengambil cuti tanpa gaji atas kenyataan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara yang mengklasifikasi kes kematian Kugan Ananthan dalam tahanan polis di Subang Jaya sebagai kes bunuh.
Bagi mengelakkan sebarang kecurigaan dari semua pihak bahawa polis akan mempengaruhi siasatan ini, maka Khalid diminta mengambil cuti sehingga siasatan terhadap kes ini selesai. Memandangkan kita masih belum melaksanakan Suruhanjaya Bebas Siatan Polis (IPCMC), siasatan polis terhadap anggota polis sudah tentu akan mengundang banyak spekulasi.
Di Subang Jaya, banyak laporan kes ragut dan pecah rumah dialami sehingga memberi ketakutan kepada penduduk. Alasan yang diberikan oleh pihak polis Subang Jaya ialah kekurangan anggota polis yang mengawal di kawasan sekeliling. Tetapi, insiden yang berlaku kepada pemuda 22 tahun pada 20 Januari lalu yang menunjukkan terdapat kesan-kesan jerut dan lebam yang teruk sehingga mati menunjukkan polis di Subang Jaya tidak melakukan tanggungjawab dengan sewajarnya, seolah-olah polis berkuasa dalam memberi hukuman. Sebelum gambar-gambar kecederaan selepas bedah siasat dibuat, Khalid mengeluarkan kenyataan bahawa mangsa bunuh tersebut mati kerana kesesakan nafas dan mati selepas meminta segelas air.
Sungguhpun mangsa tersebut disoal-siasat atas mengesyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah, pihak polis sepatutnya faham atas batas tugas mereka – bukannya mendera.
Pada 10 November 2008, Khalid juga pernah mengeluarkan kenyataan salah apabila mendakwa orang ramai yang berhimpun semasa menyambut ulangtahun pertama Perhimpunan Aman BERSIH yang diadakan di Laman MBPJ 9 November lalu tidak menyanyikan lagu Negaraku dan menafikan polis bertindak ganas dalam meleraikan perhimpunan tersebut. Saya percaya dakwaan terhadap 21 mereka di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya 23 Januari lalu atas desakan beliau.
Saya juga menyeru agar pelaksanaan IPCMC disegerakan agar keadilan dapat diberikan kepada semua pihak.
Gwo-Burne Loh

No comments: