Share |

Monday 22 December 2008

Hujung Minggu di Permatang Pauh

Satelah berhempas pulas berbahas di Parlimen, hujung minggu ini sebagaimana biasa saya turun padang ke Permatang Pauh. Aktiviti yang disusun KeADILan Bahagian sangat padat.

Di kesempatan ini, KeADILan Pulau Pinang turut mengadakan mesyuarat khas untuk menyusun strategi memperkemaskan organisasi di peringkat negeri dan bahagian-bahagian.

AMK Permatang Pauh juga tidak ketinggalan dengan menganjurkan pertandingan futsal di kawasan Seberang Jaya. Penyertaan belia cukup memberangsangkan.

Saya berkesempatan untuk menziarah aktivis KeADILan tempatan yang kini terlantar sakit, disusuli dengan ziarah kematian di kawasan sekitar.

Sehari suntuk turut dipenuhi dengan menghadiri undangan majlis perkahwinan termasuk di Kubang Ulu, Mengkuang, Tanah Liat, Sungai Semambu, Guar Perahu dan Bukit Mertajam.

Rata-rata rakyat yang saya temui sering mengeluh tentang peningkatan isu pengangguran, pembuangan pekerja dan kenaikan harga barang. Ramai juga yang menyatakan hasrat untuk bersama membantu calun Pas di Kuala Trengganu dalam pilihanraya kecil bulan hadapan.

ANWAR IBRAHIM

No comments: