Share |

Tuesday 14 October 2008

Mahkamah Rayuan tersilap terima laporan DNA

Canny Ong©Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 13 Okt. - Mahkamah Rayuan tersilap kerana menerima laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), tanpa penelitian mendalam ketika mengaitkan bekas pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris dengan pembunuhan penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian.

Peguam Mohamad Haniff Khatri Abdulla ketika berhujah di Mahkamah Persekutuan menyatakan, antaranya ujian DNA melibatkan sepasang seluar jeans mengandungi percikan darah si mati yang dipakai oleh Ahmad Najib (perayu) pada malam kejadian berlaku.

Menurut beliau, panel yang mendengar rayuan itu turut tersilap ketika menerima bukti keterangan bahawa perayu mempunyai akses pada sehelai kain yang ditemui terlilit pada leher dan pinggang mangsa.

''Laporan ujian DNA (P83) yang mengaitkan perayu dengan pembunuhan Canny Ong diragui kesahihannya dan tidak boleh diterima masuk sebagai bukti keterangan, maka keputusan yang diperolehinya juga wajar diketepikan.

''Laporan DNA yang merupakan cebisan keterangan yang cukup penting bagi menyokong kes pendakwaan telah 'tercerai' dan menjadikan tiada bukti kukuh bagi mengaitkan perayu dengan tuduhan itu," ujar Mohamad Haniff Khatri.

Ahmad Najib turut diwakili barisan peguam, Mohd. Nadzim Ibrahim, Rosal Azimin Ahmad dan Amir Ajree Meor Nordin.

Ahmad Najib merayu terhadap sabitan dan hukuman gantung kerana membunuh Canny Ong, 29, serta penjara maksimum 20 tahun dan sebatan 10 kali kerana merogol mangsa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 23 Februari 2005.

Dia melakukan perbuatan itu antara pukul 1 dan 5 pagi, 14 Jun 2003 di Batu 7, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, Selangor.

Plot kejadian tragis itu bermula apabila Canny, 29, ditemani ibu, Pearly Visvanathan dan adik perempuannya menghadiri majlis makan malam di Restoran Monte di Pusat Beli-Belah Bangsar (BSC) Kuala Lumpur.

Dia kemudiannya hilang dipercayai diculik setelah dilarikan bersama kereta Proton Tiara sebelum mayatnya dijumpai berkeadaan hangus di dalam lubang pembetungan seluas 1x1x1 meter dengan kedua-dua tangannya bersilang di atas dada dan kakinya terjuntai keluar dari lubang itu.

Tubuh mendiang dihimpit di bawah dua buah tayar besar berisi simen, empat hari selepas dia diculik dari tempat meletak kereta BSC.

Mohamad Haniff Khatri selanjutnya berhujah, mahkamah tersilap ketika menyimpulkan tiada kemungkinan orang lain terlibat menyebabkan pendarahan, kecederaan pada leher mangsa serta menyumbatkannya dalam lubang pembentungan sebelum membakarnya.

Beliau berkata, ini kerana tayar besar dan bersimen yang menindih mayat Canny terlalu berat untuk diangkat oleh kudrat seorang manusia yang memungkinkan wujudnya penglibatan orang lain.

Muhammad Haniff Khatri turut menghujahkan, panel hakim Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa mendengar rayuan Ahmad Najib dan menilai keterangan atau penemuan fakta tanpa merujuk kepada penghakiman Mahkamah Tinggi.

Peguam bela menghujahkan, tindakan panel berkenaan meneruskan proses memeriksa dan menilai semua keterangan lain seolah-olah mahkamah itu mengendalikan perbicaraan asal, sedangkan ia tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai oleh Datuk Arifin Zakaria menetapkan esok bagi mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan.

Beliau bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman, Datuk S. Augustine Paul, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

No comments: