Kenyataan Akhbar
10 Oktober 2011
Kerajaan Negeri menghormati titah DYMM Sultan Selangor, Sultan
Sharafuddin Idris Shah berhubung laporan pemeriksaan terhadap Dream
Center di Damansara Utama yang telah diperiksa oleh Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS).
Kerajaan Negeri yakin dan percaya, titah baginda ini adalah keputusan
terbaik dan adil serta mengambil kira keharmonian masyarakat berbilang
kaum dan agama di negeri ini dan Malaysia amnya.
Sebagai rakyat Selangor, kita mesti menghormati dan menerima titah
ini dengan hati terbuka dan positif kerana baginda adalah ketua negeri
dan tempat masyarakat berbilang kaum berlindung.
Kerajaan Selangor tidak akan menoleh ke belakang lagi disebabkan isu
ini. Sebaliknya isu ini memberi kesedaran tentang keperluan untuk
mengukuhkan penguatkuasaan JAIS serta pengumpulan bukti.
Justeru, Kerajaan Negeri akan menubuhkan jawatan kuasa khas untuk
memperkasakan Standard Operating Procedure (SOP) di JAIS agar jabatan
itu dapat memantau cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat
Islam dengan teliti dan berkesan.
Jawatan kuasa khas ini akan dianggotai tokoh perundangan dan pakar
agama selain pegawai kanan kerajaan yang mana nama-nama mereka ini akan
diumumkan kelak.
TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
No comments:
Post a Comment