Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang
fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara
yang tidak diingini – Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) –
sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.”
(Al-Quran, Al-hujurat: 6).
Ayat di atas mengajar kita agar berhati-hati dalam menerima berita
dari orang-orang fasik. Seorang Muslim Al Walid bin Uqbah bin Abi Mu’id
diutuskan oleh Nabi Muhammad saw melakukan suatu tugasan ke Kampung Bani
Mustaliq. Al Walid menyangkakan mereka sudah murtad lalu segera pulang
ke Madinah melaporkan kepada Baginda Nabi apa yang ditanggapinya.
Hasilnya, baginda mengarahkan Khalid al Walid bersama anggota tenteranya
bertindak terhadap kampung tersebut. Namun, selepas melakukan risikan,
Khalid Al Walid mendapati bahawa mereka tidaklah murtad sebagaimana
didakwa. Ini dilaporkan kepada Rasulullah. Diketika inilah ayat ini
diturunkan sebagai teguran dan panduan buat orang beriman dalam menerima
khabar berita dari orang fasik.
Media-media utama tertentu milik pemerintah UMNO dan Barisan Nasional
telahpun kerap didapati bersalah oleh mahkamah kerana melaporkan
berita yang tidak tepat, berunsur fitnah dan sengaja diputar belitkan.
Pemimpin-pemimpin organisasi berita ini sendiri mengesahkan bahawa
harus diputarbelit sesuatu berita demi mendokong aspirasi parti yang
menjadi pemiliknya.
KEADILAN melihat bahawa serangan menggila terhadap Naib Presiden
Parti YB Nurul Izzah, yang sedang berlaku sekarang ini adalah langkah
terbaru UMNO dalam percubaan mengembalikan sokongan dan kepercayaan
rakyat yang semakin terhakis. Hampir kesemua pemimpin tertinggi mereka
memberikan ulasan semborono ‘bagaikan menunda najis yang hanyut’.
Media milik mereka dengan sengaja membentuk persepsi yang tidak betul
mengenai apa yang dinyatakan oleh YB Nurul Izzah. Kemudiannya, dengan
sengaja pula komen-komen berdasarkan persepsi yang salah ini disebar dan
dijajakan.
Amatlah jelas, UMNO sedang begitu tertekan dan desperado. UMNO gagal
menghakis tanggapan buruk rakyat terhadap dirinya dalam pelbagai
jenayah dan pengkhianatan terhadap rakyat dan Negara – penyelewengan
SPR, NFC, Lynas, BERSIH, Kugan, Teo Beng Hock dan sebagainya. Isu
terbaru yang paling menekan adalah skandal RM40 juta yang melibatkan
beberapa menteri kanan UMNO. Ia begitu hangat diperkatakan ketika ini.
Disaat kritikal inilah, kenyataan YB Nurul Izzah yang diputarbelitkan
itu dijadikan isu besar untuk mengalih perhatian rakyat.
Sesungguhnya, kenyataan spontan dan bersahaja YB Nurul Izzah pada
majlis berkaitan adalah secara umum dan memang boleh mengundang pelbagai
persepsi dan tafsiran. Namun, kekeliruan yang timbul telahpun
diperjelaskan sendiri oleh beliau kemudiannya dengan tegas dan jelas.
Peliknya, penjelasan lanjut itu dengan sengaja ditenggelamkan demi
mengelakkan rakyat mengetahui hakikat dan apa sebenarya yang
diperkatakan.
KEADILAN ingin menjelaskan bahawa, YB Nurul Izzah sendiri adalah
seorang yang komited kepada agamanya – Islam. Beliau merupakan antara
pemimpin harapan generasi muda Negara, merentasi semua agama dan kaum.
Latarbelakang keluarga dan penampilan yang sederhana jelas menzahirkan
ketrampilan diri yang berpaksikan jiwa yang tauhidiq pada Ilahi dan
agama Islam yang syumul.
Sesungguhnya, seluruh lapisan kepimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat
sedang terus mara mengemudi kebangkitan rakyat demi masa depan Malaysia
yang lebih gemilang. Dengan kehendak Ilahi, tiada apa yang dapat
menggugatnya, InsyaAllah.
Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan, PKR
13 November 2012
No comments:
Post a Comment