APA pun PTPTN mestilah dimansuhkan dulu serentak dengan pengumuman pelajaran percuma hingga ke universiti.
Beban pertama yang perlu ditangani ialah membebaskan para pelajar
dari hutang sejak hari pertama melangkah ke universiti atau kolej.
Dalam sistem sekarang baik kaya dan apa lagilah miskin sebaik
melangkah ke menara gading disediakan dengan hutang yang berbunga.
Sebaik bekerja dan sejak gaji bulan pertama terpaksa membayar hutang.
Ia mesti dibebaskan dulu.
Tidak berbangkit tiada yang sanggup ke universiti apabila PTPTN mansuh, kerana universiti disediakan secara percuma.
Apabila ia dikatakan percuma tentu semua perkara besar yang
melibatkan kewangan akan dikendalikan oleh kerajaan yang mendapat RM80
bilion setahun dari hasil minyak dan gas.
Anwar Ibrahim yang pernah menjadi menteri pelajaran termasuk
bertanggungjawab terhadap pelajaran tinggi pada masanya tahu keperluan
setiap universiti dan kolej.
Belajar dari pengalaman PAS memerintah Kelantan sejak tahun 1959,
tiada lulusan STP boleh masuk universiti tanpa penaja sekali pun
sijilnya cemerlang. Seluruh pelajar dari Kelantan termasuk yang dapat
sijil tidak penuh ditaja oleh kerajaan Kelantan.
Antara mereka masuk kampus tak berduit. Berhempas pulaslah Prof.
Diraja Ungku Aziz mengikhtiarkan keperluan mereka. Selama 19 tahun PAS
memerintah hanya setahun saja pelajar Kelantan tidak jadi pelajar yang
teramai dibandingkan dengan setiap negeri.
17 buah sekolah yang terbaik masa itu terhadap di tiga buah kota
iaitu Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Tidak termasuk sekolah di
Kelantan, tetapi siswa yang teramai bukan dari Selangor, Perak dan
Pulau Pinang bahkan dari Kelantan.
Perdana Menteri kata, jika PTPTN dimansuhkan kerajaan terpaksa
tanggung RM43 bilion. Anwar yang pernah jadi menteri kewangan kata, RM43
bilion itu bukan peruntukan setahun. Yang disediakan oleh kerajaan
sekarang tiga bilion saja setahun. Tetapi PR sedia belanjakan lima
bilion setahun dari 80 bilion setahun dari hasil minyak untuk tampung
keperluan ganti PTPTN itu.
Bukan Najib saja pernah jadi menteri kewangan dan menteri pelajaran.
Anwar pun pernah jadi menteri pendidikan dan menteri kewangan.
Kata Khaled Nordin, menteri pengajian tinggi, tanpa PTPTN tutup
semua universiti swasta (IPTS). Khaled Nordin tidak pernah jadi menteri
kewangan dan tiada pengalaman jaga kementerian pelajaran. Anwar lebih
banyak pengalaman dan dia adalah pengerusi jawatankuasa anti
penyelewangan. Dia tahu ke mana tumpah kuah.
Tidaklah 100 bajet universiti swasta datang dari dana kerajaan,
tetapi kekurangan peruntukan disebabkan oleh ketiadaan PTPTN tentulah
dapat ditampung oleh kerajaan yang menyediakan peruntukan lima bilion
tadi.
Pelajaran bagi Pakatan Rakyat adalah termasuk dalam negara
berkebajikan. Ia bukan produk yang diswastakan seperti di bawah BN.
Konsep swasta adalah mencari sebanyak-banyak untung. Banyak siswa, maka
banyaklah pulangannya. Mutu pengajian jadi perkara kedua.
Tetapi di bawah pelajaran percuma, mutu pengajian diutamakan dan ia
mesti memenuhi kehendak kebajikan. Sebagaimana graduan Kelantan dengan
standard pengajiannya yang bermutu balik membangunkan Kelantan, maka
nilai pelajar yang keluar dari semua universiti, tentulah dapat
membangunkan negara, bangsa dan agama atau bermoral tinggi.
Kita jangan berbalah dulu tentang ganti PTPTN dan macam nak tangani
kampus tanpa PTPTN. Mansuh dulu PTPTN dan laksanakan pelajaran percuma.
Setelah itu kita fikirkan bagaimana anak orang kaya dan anak orang
miskin.
Persoalan pertamanya jangan jadikan PTPTN sebagai ah long kepada pelajar.
Menuntut ilmu adalah ibadat. Bebaskan pelajar dari gejala riba
membatalkan ibadat bahkan jadi maksiat pula. Bebaskan pelajar dari
berhutang kerana hutang itu menyebabkan ibadat tidak sampai ke langit
dan doa tidak makbul. Kejayaan dalam pelajaran bukan sekadar cerdik dan
rajin studi, tetapi dibantu oleh doa. Kalau siswa berhutang doa untuk
lulus cemerlang dan dapat kehidupan baik tidak tercapai kerana halangan
hutang.
Jika universiti dan kolej jadi tempat ibadat dan doa dimakbulkan,
maka melimpah ruahlah bantuan dari Allah. Ramailah orang kaya memberi
zakat kepada kampus sebagai ganti kepada PTPTN. Apabila universiti
makmur, maka bukan orang miskin saja dapat kebajikan dari pengajian
percuma, anak orang kaya juga boleh dapat pelajaran percuma. Belanja
dari orang kaya untuk pengajiannya adalah sedekah.
Islam agama diterima di sisi Allah. Malulah kepada Sweden, Norway
dan Finland bukan Islam dapat memberi kebajikan kepada pengajiannya,
negara Islam mencari keuntungan dari bidang pelajaran.
No comments:
Post a Comment