19 DIS — Apabila menonton filem Melayu, saya akan mengharapkan
kehadiran “roh” Melayu. Begitu
juga, dalam filem-filem bertema Islam,
saya mengharapkan “roh” Islam.
Malangnya, daripada pengalaman saya selama ini, apa yang dicari masih
belum ditemui dalam filem-filem Melayu yang dilabel dan dipromosikan
sebagai “filem Islamik”.
Saya sempat membincangkan topik ini bersama-sama Nizam Zakaria iaitu
seorang novelis, penulis skrip, pengarah dan penerbit drama televisyen
sepenuh masa pada 30 November 2011.
Pemuda yang lahir di Singapura itu mengakui bahawa banyak filem
Islamik, sejak awal lagi, adalah mengenai topik dakwah dan masuk Islam.
Katanya, apa yang kadang kala membimbangkan adalah kegemaran pembikin
filem menunjukkan bahawa agama asal watak itu ada banyak kepincangan.

Filem ‘Muallaf’ masih kekal sebagai filem bertema Islamik terbaik.
“Tindakan
seumpama itu adalah terlalu simplistik. Mungkin ada kebenaran dalam
kes-kes terpencil tetapi apabila diulang dalam terlalu banyak filem,
perkara itu menjadi semacam branding.
“Akhirnya, filem bertema Islam tidak bergerak keluar daripada
kepompong kecil,” Nizam yang mendapat pendidikan di Malaysia, Singapura
dan Amerika Syarikat menghuraikan.
Filem-filem bertema Islam keluaran tempatan juga nampaknya tidak
boleh lari daripada tunjang (tema) utama iaitu bertaubat. Malangnya,
tema itu juga dijadikan terlalu simplistik.
“Satu watak akan buat jahat, kemudian akhirnya bertaubat. Saya mahu
juga menonton filem-filem Islamik yang keluar daripada kotak sempit ini.
Maknanya tidak sekadar berkisar tema masuk Islam dan tema bertaubat.
“Kalau kita berpeluang menonton filem-filem Iran yang dikatakan
bertema Islamik, sebenarnya banyak filem-filem besar dari negara itu
tidak sepenuhnya masuk dalam kotak tema Islamik secara konvensional,”
katanya.
Nizam juga bercakap berdasarkan pengalaman luas dalam bidang drama,
telemovie dan filem tempatan. Beliau menulis lebih 20 skrip, termasuk
“Hotel Mania” (2010), “Ponti Anak Remaja The Series” (2010), “S3RAM”
(2011) dan “Boona & Boonie” (2011).
Pemuda yang turut terlibat dalam pementasan muzikal “Terima Kasih
Cinta” di Istana Budaya pada Februari-Mac lalu mengakui bahawa terdapat
banyak filem kontroversional dari Iran.
Ramai juga pembikin filem dan pelakon di negara itu dijatuhi hukuman
kerana terlibat dalam filem-filem yang dikatakan tidak Islamik.
Satu persoalan menarik adalah sama ada filem-filem yang berciri out
of the box masih boleh berciri Islamik. Filem-filem tempatan juga banyak
menggunakan simbol-simbol seperti masjid, solat, ustaz dan sejadah
untuk menunjukkan unsur Islamik yang mahu ditonjolkan menerusi
filem-filem bertema Islam.
“Saya sebagai pembikin filem, contohnya, mungkin boleh menggunakan
warna hijau sebagai simbol Islam. Kita perlu faham bahawa ‘bahasa filem’
adalah berbeza kerana kita boleh menunjukkan visual untuk menyatakan
sesuatu,” Nizam menjelaskan sewaktu kami bertemu di KLCC.
Perlu diakui bahawa kalau seorang pembikin filem boleh melakukan
sesuatu secara bersahaja, halus dan dapat menembusi sanubari penonton,
itu adalah kejayaan lebih besar bagi sebuah filem Islamik.
“Ramai juga yang bising mengatakan bahawa filem-filem barat cuba
menerapkan unsur-unsur Kristian. Misalnya menerusi ‘The Da Vinci Code’
(2006), ‘Lord of the Rings’ (2001, 2002, 2003) dan ‘The Chronicles of
Narnia’ (2005, 2008, 2010).
“Bukankah lebih jika kita bertanya kepada diri sendiri: mengapa kita
tidak cuba menggunakan filem Melayu tempatan untuk menonjolkan
unsur-unsur Islam sehebat itu?” Soal Nizam yang menulis dan mengarah
filem “Cinta Kura-kura” (2012).
Beliau bimbang bahawa kita masih belum mempunyai sebuah karya seperti
itu yang mampu diangkat ke dalam sebuah filem yang menerapkan
unsur-unsur Islam secara bersahaja sehingga mampu menarik minat penonton
kanak-kanak, remaja dan dewasa sekali gus.
Mungkinkah juga realiti penduduk pelbagai kaum, etnik dan agama di
negara bertuah ini menjadi semacam hambatan ke arah menghasilkan
filem-filem Melayu yang bertema Islam dan mampu dihayati seisi keluarga?

Nizam Zakaria mendapat pendidikan di Amerika Syarikat.
“Saya
rasa tak jadi masalah kerana di Malaysia, masyarakat pelbagai kaum dan
agama masih boleh menonton filem-filem bertema Islam. Cuma masalahnya,
seperti dikatakan tadi, apabila filem-filem ini ketara berciri dakwah,
masuk Islam dan taubat,” katanya.
Pada pandangan Nizam, jika mahu bercakap mengenai filem Islamik yang
betul-betul berjaya menambat hati semua, tentulah filem “Muallaf” (2008)
oleh Yasmin Ahmad.
“Filem itu bercerita mengenai agama Islam melalui pandangan yang amat
indah. Apa yang lebih penting, dalam usaha menunjukkan keindahan Islam,
Yasmin tidak sedikit pun memburukkan agama-agama lain. Sebab itulah
juga arwah adalah seorang pembikin filem yang penting di Malaysia,”
pemuda berumur 37 tahun itu menghuraikan.
Berbalik pada karya fiksyen tempatan yang mampu diangkat menjadi
filem bertema Islam, Nizam memilih novel “Imam” (1995) oleh Sasterawan
Negara Datuk Abdullah Hussain.
“Kalaulah saya diberi peluang mengadaptasi sebuah novel bertema Islam
ke filem, saya akan memilih Imam. Walaupun ia sebuah novel yang berat,
ceritanya sangat sesuai diangkat ke filem,” katanya.
Pada pandangan saya, satu lagi perkara yang perlu diambil kira adalah
bahawa bahan yang diangkat ke filem perlu bersifat universal. Maknanya,
sebuah filem Melayu bertema Islam yang dihasilkan di Malaysia mesti
masih mampu berkomunikasi dengan penonton di luar negara.
Misalnya bagaimana filem “Children of Heaven” (1997) mampu dihayati
dan dihargai penonton seluruh dunia tanpa mengira batas ideologi,
politik, kaum dan agama. Kita perlukan sebuah karya yang tidak
menunjukkan bahawa filem itu cuba berdakwah per se.
Nizam mengakui dengan memberikan contoh di mana setiap kali menjelang
Aidil Fitri, banyak juga filem dan drama bertema Islam yang bercerita
tentang orang meninggal dunia.
“Seolah-olah Hari Raya Puasa adalah hari kematian. Cuba bandingkan
pula dengan filem-filem menjelang Krismas, misalnya, yang sentiasa
membawa kisah-kisah penuh ceria dan harapan positif,” kata Nizam yang
antara lain pernah mengarah telemovie “Gaia” (2008) dan “Cikaro” (2011).
Bagaimanapun, katanya, sejak belakangan ini, sudah ada beberapa
pembikin filem Melayu yang cuba meninggalkan filem Islamik yang
konvensional.
Paling tidak, menampilkan unsur ceria dan gembira dalam filem dan drama hari raya.
Di Indonesia, misalnya, filem “3 Hati Dua Dunia, Satu Cinta” (2010)
tulisan dan arahan Benni Setiawan membawa nafas baru dalam industri
filem Islamik. Filem berkenaan menampilkan watak budak lelaki berambut
Afro yang bercinta dengan seorang gadis Islam dan seorang gadis
Kristian.
Filem berkenaan tidak bersifat berdakwah secara langsung dan
berterus-terusan. Bagi Nizam, itu adalah antara filem Indonesia yang
terbaik sejak lima tahun lalu.
Pasti ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada pengalaman
pembikin filem Islamik di Indonesia. Sekurang-kurangnya untuk menyedari
bahawa filem-filem Islamik tidak semestinya mengisahkan suatu watak buat
jahat dan kemudian bertaubat, atau memberi gambaran negatif mengenai
agama lain.
Di Malaysia, pada penelitian Nizam, antara pengarah yang sedang
memberikan nafas baru kepada genre filem/drama Islamik ialah Azma Aizal
Yusoof menerusi “Hajar Aswad” (2011) dan Shahrulezad Mohameddin menerusi
“Antara Garisan” (2010).

Drama ‘Antara Garisan’ menang Anugerah Skrin 2010.
Ternyata,
apa yang juga penting dalam pembikinan filem bertema Islam adalah
keikhlasan dan kejujuran dalam bercerita. Aspek story-telling itu adalah
yang paling utama sementara motif-motif lain — misalnya, berdakwah —
hanya datang kemudian.
Nizam mengakui bahawa jika motif berdakwah diutamakan, maka aspek
bercerita akan cair atau hilang terus. Apatah lagi, apabila tidak
dilakukan secara jujur dan ikhlas, apa yang diimpikan tidak akan sampai
kepada orang lain (penonton).
“Baru-baru ini, saya membaca kenyataan seseorang menerusi Twitter.
Katanya, sesiapa yang menonton filem-filem Islamik seolah-oleh membeli
tiket ke syurga,” Nizam menceritakan.
Pemuda itu tidak menolak kemungkinan memang ada orang membaca novel
serta menonton filem bertema Islamik dengan kesedaran dan harapan
mendapat pahala serta peluang lebih cerah untuk memasuki syurga.
“Kita perlu ingat bahawa sebuah filem tetap sebuah filem. Saya rasa
seseorang tidak akan tiba-tiba bertukar menjadi seorang yang alim
selepas menonton sebuah filem. Sebagaimana seseorang tidak akan
tiba-tiba bertukar menjadi pembunuh bersiri selepas menonton ‘Silence of
the Lamb’, misalnya.
“Sebaliknya, filem mampu menjadi umpama tingkap yang memberi ruang
kepada kita untuk melihat dan memahami apa yang berlaku dalam kehidupan
orang lain,” katanya.
Saya juga amat bersetuju bahawa filem-filem bertema Islam juga mampu —
dan sewajarnya — menjadi tingkap untuk membantu masyarakat pelbagai
kaum dan agama di Malaysia memahami kehidupan Islam yang sebenar.
Sebab itulah penting bagi sebuah filem berbentuk Islam untuk
menunjukkan sesuatu nilai yang bersifat universal. Akhirnya, penonton
bukan Islam di mana-mana penjuru dunia akan faham bahawa inilah
kehidupan Islam yang sebenar.
Paling penting, seperti kata Nizam, filem berkenaan tidak berciri
dakwah dan/atau menyalahkan agama lain dalam usaha mengangkat martabat
Islam.
“Dua kesilapan ini akan membuatkan penonton switch-off dan segala
mesej yang mahu disampaikan secara tersurat atau tersirat tidak sampai
kepada mereka.
“Kalau kita mahu penonton bukan Islam membuka hati mereka dan
menonton filem-filem bertema Islam dan melihat cara hidup orang Islam,
kita perlu mampu menghasilkan karya yang bersifat subtle dan tidak
terlalu berdakwah,” kata Nizam.
Sekali lagi, pemuda itu memberikan filem-filem Yasmin sebagai contoh
terbaik. Bakat muda yang disebut beberapa kali oleh Nizam adalah Azma
Aizal dan Shahrulezad yang dikatakan menunjukkan potensi ke arah itu
menerusi telemovie dan drama.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.