“SEKUMPULAN WANITA BERSKIRT MINI BERHIMPUN DI JAKARTA”,
“PAKAI SKIRT BANTAH GABENOR”
Bila baca tajuk berita sedemikian, imej apa yang terus terbayang di
fikiran pembaca? Mungkinkah: “Whoo, perempuan seksi!” Atau: “Teruk betul
wanita yang berdemo itu kerana pakai mini skirt.” Mungkin: “Inilah bila
wanita kebaratan sangat…!”
Tetapi, berapa ramai agaknya yang merasa mahu tahu isu apakah yang membuatkan wanita-wanita itu berdemonstrasi?
Berita mengenai wanita berdemonstrasi di Jakarta baru-baru ini
tersiar di akhbar-akhbar perdana di Malaysia. Mereka memprotes kenyataan
gabenor Jakarta yang menyalahkan cara perempuan berpakaian sebagai punca mereka dirogol.
Mangsa yang diperkosa adalah seorang mahasiswi yang masih berpakaian
seragam dalam perjalanan pulang dari kampus. Gabenor terus menuduh punca
wanita diperkosa di dalam bas pengangkutan awam adalah kerana wanita
memakai skirt pendek. Apakah kenyataan itu benar dan patut?
Justeru, para wanita berdemo dengan memakai pelbagai jenis pakaian
untuk menunjukkan bahawa pakaian bukanlah menjadi penyebab wanita
diperkosa.

Demonstrasi di Jakarta (photo courtesy of Kiki Febriyanti)
Masyarakat memangsakan mangsa
Antara faktor pemerkosaan adalah kerana penjenayah merasa
mempunyai kuasa untuk melakukan kekerasan ke atas orang yang lebih lemah dari dirinya.
Hakikatnya, bayi, kanak-kanak kecil, nenek-nenek dan wanita yang bertudung labuh pun ada yang dirogol.
Malaysia masih ingat kes
Nurul Huda Abd Ghani, murid Tahun 4 yang dirogol oleh tiga lelaki di pondok pengawal TNB di Johor Bharu. Juga kes
Noor Suzaily Mokhtar,
jurutera komputer yang dirogol dan dibunuh dengan kejam oleh pemandu
bas. Noor Suzaily tidak memakai skirt pendek semasa beliau menaiki bas
tersebut. Beliau bertudung kepala.
Apa yang sering berlaku, reaksi spontan ramai orang adalah untuk
terus menyalahkan si mangsa. “Mesti kerana dia berpakaian yang menjolok
mata”, atau “Gaya dia membuatkan lelaki tergoda”.
Jangan terperanjat jika reaksi sebegini turut datang dari orang-orang
yang berpendidikan tinggi, termasuk yang dikatakan tinggi ilmu
agamanya.
Bila rogol dianggap halal dalam Islam
Seorang pemimpin parti politik bergelar ulama berkata wanita yang
tidak menutup aurat memang layak dirogol. Ceramah beliau tersiar di YouTube, ditonton lebih dari satu juta kali.
Baru-baru ini juga seorang pemimpin tertinggi di Acheh Barat juga
mengeluarkan kenyataan yang serupa, iaitu wanita yang tidak berpakaian
menurut Shariah layak diperkosa.

Fauzi Bowo Canisius, gabenor Jakarta (Wiki commons)
Mesej apakah yang diberi oleh tokoh-tokoh Islam ini? Ajaran Islam
apakah yang disampaikan? Apakah pelaksanaan negara Islam mereka lebih
kepada untuk menghukum? Adakah menurut kefahaman mereka, merogol wanita
yang tidak menutup aurat itu hukumnya halal?
Dalil apa yang mereka pakai? Apakah ada ayat al-Qur’an yang
mengatakan hukum perempuan tidak berpakaian sopan adalah dirogol? Apakah
Rasulullah pernah mengeluarkan hadith yang sekejam itu?
Bercakap atas nama agama
Ini yang menjadi ironisnya. Orang Islam marah benar bila orang Barat
atau bukan Islam menuduh agama Islam sebagai mengamalkan diskriminasi,
keras dan tidak berperikemanusiaan. Akan tetapi, orang Islam seperti
mereka jugalah yang mengatakan perempuan memang layak diperkosa jika
pakaiannya tidak sopan.
Mereka bercakap atas nama agama. Walaupun mereka mempunyai ilmu
tentang Islam, namun mereka tetap merupakan manusia yang pemahamannya
tentang agama dan kemanusiaan masih terbatas mengikut kadar pemahaman,
tafsiran dan pengalaman mereka sendiri. Lantas, ternodalah nama Islam
akibat pemikiran sempit dan sikap sadis mereka.
Teramat jarang sekali saya dengar tokoh agama di Malaysia yang
kritikal tentang punca masalah keganasan seksual dan menawarkan
pemikiran yang membina dalam usaha membanteras jenayah rogol. Usaha
penyelesaian memerlukan pemikiran yang berupaya mengharmonikan objektif
Shariah dengan konteks masyarakat moden.
Di Indonesia, saya berkesempatan bertemu beberapa tokoh Islam yang
menawarkan cara pandang baru untuk masyarakat Islam di Malaysia.
Konsep dan objektif mahram
Ibu Nyai Masriyah Amva
adalah seorang ulama wanita yang memimpin sebuah madrasah di Cirebon,
Indonesia. Di dalam sebuah buku karangannya, beliau menceritakan
pengalaman semasa di tanah suci Mekah dan Madinah.
Bagi wanita yang berasal dari negara yang secara amnya menyediakan
ruang kebebasan untuk wanita bergerak ke mana saja, beliau hairan
bagaimana wanita seperti beliau yang berada di kota-kota suci Islam
malah lebih terdedah pada gangguan lelaki. Betapa kota yang menempatkan
rumah Allah sangat tidak ramah pada perempuan.

Ibu Nyai Masriyah Amva (Sumber: kebonjambu.org)
Beliau justeru sedar bahawa perempuan adalah korban dari budaya dan
undang-undang yang membunuh kekuatan-kekuatan wanita, yang membuatkan
wanita terpaksa bergantung pada lelaki untuk jaminan keselamatan
dirinya. Beliau lalu menyeru kerajaan Arab Saudi untuk menyediakan
suasana yang aman dan kondusif agar wanita dapat bergerak bebas dan
beribadah pada Tuhannya tanpa perlu bimbang dari gangguan lelaki.
Kiyai Husein Muhamad,
seorang ulama tradisional di Indonesia yang berkelulusan dari
universiti Al-Azhar, Mesir, memahami keadaan sukar yang dialami para
wanita termasuk Ibu Nyai Masriyah.
Beliau lalu menjelaskan bahawa pada zaman Nabi yang masyarakatnya
mengamalkan hidup nomad serta keadaan tanah Arab yang berpadang pasir,
dengan kedudukan bandarnya yang berpuluh-puluh atau beratus-ratus batu
jauhnya, memang boleh difahami mengapa wanita perlu ditemani mahram,
yang biasanya adalah orang lelaki. Tujuannya agar keselamatan wanita
terjaga dari anasir buruk seperti dirompak, diculik, diperkosa atau
dibunuh.
Akan tetapi, di dalam sistem negara moden seperti Malaysia dan
Indonesia, beliau berpendapat bahawa negaralah yang seharusnya
berperanan sebagai mahram dalam memastikan keselamatan semua rakyatnya
terjamin.
Ia boleh dilaksanakan dengan menyediakan sistem yang baik dan
efisien. Ini termasuklah menyediakan lampu-lampu bagi memastikan jalan
terang, sistem pengangkutan yang cekap yang mana kesemua kakitangan dan
pemandu bas hendaklah berdaftar dan tiada rekod jenayah.
Negara yang berperanan sebagai mahram juga termasuk pasukan polis
yang cekap dan mesra rakyat, dan sistem perundangan yang cekap dan tegas
dalam menghukum pelaku jenayah. Penting juga dari segi pendidikan ialah
memberi ilmu mempertahankan diri, menerapkan dalam sistem pendidikan
agar manusia saling menghormati antara satu sama lain walaupun mereka
berbeza dari pelbagai segi, termasuklah agar lelaki menghormati orang
perempuan, dan sebagainya.
Menggunakan akal dalam agama
Ramai ulama mendakwa dalam Islam tidak boleh menggunakan akal
fikiran, harus berdasarkan keimanan. Pada saya, kenyataan sedemikian
bertentangan dengan wahyu Allah yang pertama, iaitu “Bacalah”. Tentu
saja membaca memerlukan akal fikiran yang tajam bagi memproses informasi
yang dibaca dengan menghubungkannya dengan alam dan hidup kita.
Dalam hal ini misalnya, apakah beriman atau meyakini itu adalah
dengan meyakini apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin Islam yang
mengatakan perempuan boleh dirogol? Bukankah pandangan mereka juga hasil
dari menggunakan akal fikiran mereka?
Jika kita benar-benar meyakini Islam adalah agama yang baik, adil,
penyayang dan mencintai keamanan, maka umat Islam harus mengelak dari
mengambil sikap menyalahkan, tetapi menggunakan akal fikiran dalam
mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah yang dihadapi oleh
masyarakat kita di zaman ini.