Mat Zain bin Ibrahim,
10hb.Jun 2011.
Kepada;
YAB Dato Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Dengan Tangan
62152 Putrajaya,
Wilayah Persekutuan.
Yang Amat Berhormat Dato Seri,
PERANAN PEGUAM NEGARA DALAM SKANDAL MAS.
Assalamualaikum wbt.
1. Saya muncul kali ini untuk, menarik perhatian YAB kepada
pengumuman yang dibuat oleh Tan Sri Dr.Hadenan Abdul Jalil pada
31.5.2011 yang “membersihkan” Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara
sekali lagi, daripada sebarang salah laku jenayah,berkaitan pemergiannya
menunaikan Haji di-Mekah, bersama-sama dengan seorang Shahidan Shafie
yang dikatakan seorang proxy kepada Tan Sri Tajuddin Ramli.
2. Saya menyatakan bahawa tindakan Tan Sri Hadenan sedemikian
itu, adalah tidak teratur serta tidak mengikut peraturan Undang-Undang
sedia ada.Ini memandangkan beliau, sama ada secara persendirian atau
sebagai sifat Pengerusi Operation Review Panel MACC tidak mempunyai
sebarang kuasa atau hak mengikut Perlembagaan atau mana-mana
Undang-Undang,untuk menyemak apa-apa keputusan yang dibuat oleh Pendakwa
Raya atau SPRM sendiri.
3. Untuk penekanan yang lebih jelas,saya sertakan salinan
surat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bertarikh 23.7.2009,
menyentuh bidangkuasa mereka,yang ditanda tangani sendiri oleh YA
Bhg.Tun Abdul Hamid bin Haji Mohamad,Pengerusi LPPR dengan maksudnya
berpenerangan sendiri.
4. Sekiranya Jawatankuasa induk LPPR yang diperngerusikan
oleh seorang mantan Ketua Hakim Negara, telah mengesahkan bahawa mereka
sendiri TIDAK mempunyai kuasa menyemak keputusan yang dibuat oleh
Pendakwa Raya atau SPRM,maka persoalannya ialah;darimana pula Tan Sri
Hadenan memperolehi kuasa beliau untuk membersihkan Gani Patail.Selain
itu Tan Sri Hadenan sendiri dipercayai telah menerima surat rayuan saya
bertarikh 15.4.2009 dialamatkan kepada LPPR dan dipercayai juga, telah
mengambil pendirian secara kolektif sepertimana jawapan Pengerusi LPPR
bertarikh 23.7.2009 tersebut.
5. Pada pendapat saya persoalan sama ada Tan Sri Hadenan
serta Ahli-Ahli jawatankuasa beliau berpuas hati atau sebaliknya,
berkaitan siasatan SPRM itu tidak timbul,memandangkan beliau tidak ada
kuasa untuk berbuat apa-apa sekalipun beliau tidak berpuas hati.Malahan
Tan Sri Hadenan sendiri telah membuat kenyataan umum, bahawa Operations
Review Panel (ORP) tidak terlibat didalam sebarang proses penyiasatan
SPRM memandangkan ORP bukan sebagai sebahagian organisasi SPRM melainkan
sekadar mewakili orang ramai sahaja,sepertimana yang dilaporkan oleh
Bernama
pada 12.11.2009. Beliau membuat kenyataan ini ketika mengesahkan akan
menghantar peromohan ORP kepada Peguam Negara untuk mendapatkan
kebenaran bertulis meneliti kes berkaitan V.K.Lingam.Saya sendiri tidak
nampak apa yang ORP boleh buat dengan kes berkenaan oleh kerana ORP
tidak mempunyai kuasa penyiasatan atau pendakwaan ataupun kuasa dan hak
menyemak semula apa apa keputusan yang dibuat oleh SPRM atau Pendakwa
Raya.
6. Seterusnya saya berpendapat bahawa tindakan Tan Sri
Hadenan membuat pengumuman berkaitan pemergian Peguam Negara ke-Mekah
sedemikian itu, sekadar merupakan suatu eksesais “white-washing” yang
tidak teratur dan sia-sia,bertujuan untuk menyelamatkan Gani Patail
daripada dikenakan hukuman jenayah, berdasarkan daripada penerangan yang
saya berikan diatas dan juga hujah lanjutan dalam perenggan-perenggan
yang akan menyusul selepas ini.
7. Antara dakwaan utama yang dibuat terhadap Gani Patail
berkaitan isu pemergiannya ke-Mekah itu,ialah beliau didapati
bersekongkol dengan seorang En.Shahidan Shafie yang dikatakan sebagai
seorang
proxy kepada Tan Sri Tajuddin Ramli (TRI) yang sedang
menghadapi penyiasatan SPRM berkaitan skandal MAS.Hubungan erat antara
Gani Patail dengan Shahidan seperti ahli keluarga didakwa telah
mempengaruhi Gani Patail untuk tidak mengambil tindakan undang-undang
terhadap TRI.
8. Saya menyatakan bahawa Shahidan bukan sekadar seorang
proxy
biasa kepada TRI.Malah Shahidan mempunyai liabiliti penjenayahannya
yang tersendiri dalam Skandal MAS tersebut, berasingan dengan liabiliti
jenayah TRI.Dakwaan ini dapat dilihat dengan jelas dalam laporan kepada
SPRM yang dibuat oleh
En.Shahari bin Sulaiman Pengarah
Urusan MASKargo Sdn Bhd.sebuah anak syarikat MAS pada 20.5.2009.Untuk
kemudahan rujukan,saya lampirkan salinan laporan berkenaan yang pernah
disiarkan kepada umum oleh blog Malaysia Today sekitar bulan Ogos 2010.
9. Siapa Shahidan,apa hubungan beliau dengan TRI dan apa
peranan yang dimainkan oleh Shahidan, dilaporkan secara teratur dan
kemas dalam laporan berkenaan.Begitu juga dengan peranan dan tanggungan
liabiliti jenayah oleh individu-individu lain yang dinamakan dalam
laporan sama.Kredibiliti laporan oleh MAS tersebut tidak boleh
dipertikaikan memandangkan terdapat wakil Kerajaan dalam Lembaga
Pengarah MAS sendiri. Malahan laporan dari MAS itu seharusnya dianggap
sebagai laporan daripada Kerajaan.Kerugian terkumpul RM 8 Billion akibat
Skandal MAS itu juga wajar dianggap sebagai pendedahan oleh Kerajaan
sendiri.
10. Pada 15 Disember 2010,Tan Sri Hadenan telah membuat
pengumuman bahawa Skandal MAS tersebut masih dalam siasatan SPRM setelah
muncul keterangan dan saksi-saksi baru.Pengumuman ini telah disiarkan
secara meluas oleh media MSM dan alternatif.Ini bermakna status TRI
ialah beliau masih dalam siasatan.Begitu juga dengan status setiap
seorang yang dinamakan dalam laporan MAS tersebut.Ini juga bermakna
bahawa status Shahidan dalam Skandal MAS ini juga, adalah beliau masih
dalam siasatan SPRM.
11. Persoalannya ialah adakah wajar,Gani Patail seorang Peguam
Negara yang masih berhidmat dilihat sebagai bersekongkol dengan
Shahidan, seorang yang masih dalam siasatan serious SPRM, yang mana
hasil siasatannya kelak, dipertimbangkan oleh Jabatan Peguam Negara yang
diketuai oleh Gani Patail sendiri.Mampukah SPRM atau Jabatan Peguam
Negara bertindak berkecuali serta memberikan pertimbangan yang adil dan
saksama dalam kes ini sedangkan skandal ini melibatkan kerugian melebihi
RM 8 Billion wang Rakyat.
12. Ketika membuat pengumuman pada 31.5.2011 itu pula,Tan Sri
Hadenan tidak langsung menyebut berkaitan status Shahidan dalam
penyiasatan SPRM ataupun mengesahkan sama ada Gani Patail dan
keluarganya benar telah pergi dan tinggal bersama dengan Shahidan ketika
di-Mekah ,walapun fakta ini adalah fakta material dalam
penyiasatan.Sekiranya Tan Sri Hadenan mengharapkan untuk menemui rekod
transaksi kewangan antara TRI atau Shahidan didalam akaun persendirian
Gani Patail,maka itu seolah mengharapkan
bulan jatuh keriba.Sama
ada beliau sedar atau tidak,Tan Sri Hadenan boleh disifatkan telah
menyembunyikan sesuatu fakta material yang boleh dianggap sebagai
suatu perdayaan sepertimana yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan.
13. Perkara utama dalam isu ini, tidak lain daripada
mempertimbangkan tingkah laku atau conduct Gani Patail.Sama ada sebagai
seorang Peguam Negara,sepadan atau tidak, beliau bersekongkol secara
terang-terang dengan seorang yang sedang dalam penyiasatan pihak
berkuasa kerana didakwa terlibat dalam suatu skandal besar melibatkan
wang Rakyat.Apabila ianya melibatkan isu conduct seorang Peguam Negara
yang sedang berhidmat,maka pihak yang mempunyai kuasa atau hak
mengadilinya, hanyalah sebuah Tribunal yang dilantik oleh SPB Yang
Di-Pertuan Agong setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri, sepertimana
yang sedia ada secara spesifiknya dalam Artikel 125 (3) dibaca bersama
Artikel 145 (6) Perlembagaan.Saya yakin saya tidak perlu menjelaskan
perkara ini lebih lanjut lagi memandangkan Kerajaan sendiri pernah
menghadapi situasi serupa dalam isu conduct mantan Ketua Hakim Negara,
YA.Bhg.Tun Salleh Abbas.
14. Seorang Peguam Negara yang berwibawa dan mempuyai
kredibiliti tidak tercemar, akan mempertahankan hak dan keistimewaan
jawatan beliau yang sedia diperuntukkan dalam Perlembagaan.Beliau tidak
akan sama sekali membenarkan, mana-mana pihak yang tidak berkenaan,
sewenang-wenangnya mengadili atau meneliti perihal conduct beliau
sepertimana yang pernah dicabar oleh Tun Salleh Abbas suatu ketika
dahulu.Malangnya Gani Patail yang kita kenali, sanggup merelakan dirinya
diadili oleh sesiapa jua asalkan pihak berkenaan sanggup mengistiharkan
secara umum, bahawa beliau bebas daripada sebarang salah laku
jenayah.Sekiranya Gani Patail tidak mampu dan berani mempertahankan hak
dan keistimewaan jawatan beliau sendiri,maka bagaimanakah Rakyat boleh
mengharapkan beliau menjadi pelindung serta mempertahankan hak
kesamarataan Rakyat dari sudut Perlembagaan dan undang-undang Negara.
15. Walaubagaimanapun perkara yang ,menarik dalam laporan Pengarah Urusan MASKargo itu ialah;
“modus operandi” (M.O.)
yang
diamalkan oleh TRI dan lain-lain individu terlibat dalam Skandal MAS
tersebut. M.O yang dimaksudkan ialah, “membuat perjanjian/konrak jangka
panjang yang berat sebelah”. M.O sebegini dikatakan telah diamalkan oleh
TRI dalam beberapa perjanjian/kontrak sejak beliau mengambil alih MAS
dari tahun 1994 sehingga 2001 yang menyebabkan kerugian terkumpul lebih
daripada RM 8 Billion.
15.1. Rakyat juga kini mendapat tahu bahawa Tenaga Nasional Berhad
(TNB) juga dilaporkan telah menandatangani beberapa perjanjian/kontrak
jangka panjang yang berat sebelah dengan beberapa Penjanakuasa Bebas
(IPP),yang mengakibatkan Rakyat menanggung kerugian lingkungan RM 20
Billion.
15.2. Begitu juga dalam hal skandal kewangan Syarikat Perwaja
Steel, dimana beberapa perjanjian/kontrak jangka panjang yang berat
sebelah telah dibuat dengan beberapa Syarikat dalam dan Luar Negara yang
mengakibatkan dana Rakyat sekitar RM 4 Billion lesap.
16. Secara kebetulan pula ketiga-tiga “skandal kewangan” ini
berlaku atau bermula antara tahun 1994 hingga tahun 1996.Tidak salah
jika demi kepentingan Rakyat, Kerajaan meneliti semula kesemua
perjanjian/kontrak yang dikatakan berat sebelah itu memandangkan
terdapat keserupaan dalam M.O yang digunakan oleh ketiga-tiga Syarikat
terlibat untuk mencari
“common factor” yang mungkin boleh
ditemui jika penyiasatannya dilakukan dengan teliti.Kita tidak boleh
mengenepikan kemungkinan mendapati orang atau kumpulan orang-orang yang
menyediakan terma-terma perjanjian/kontrak berkenaan terdiri dari
kumpulan orang yang sama.Kajian kriminologis telah membuktikan bahawa
pencuri,perompak dan penipu lazimnya akan mengamalkan M.O yang sama
setiap kali melakukan jenayah kerana itu adalah kelebihan atau kemahiran
mereka.
16.1. Saya percaya eksesais ini berbaloi memandangkan kerugian yang
Rakyat telah tanggung melebihi RM 30 Billion.Mungkin Rakyat sendiri
tidak dapat membayangkan nikmat dan kemudahan yang mereka akan rasai
jika wang sebanyak itu telah dibelanjakan untuk kepentingan mereka.
17. Boleh dikatakan tahun 1994 hingga 1996 merupakan suatu
tempoh bila mana “skandal-skandal” dan kontroversi menggemparkan Negara
berlaku atau bermula.Selain daripada skandal kewangan melibatkan MAS,TNB
dan Perwaja Steel yang telah dibincangkan dalam perenggan diatas,
beberapa peristiwa menarik perhatian umum yang saya masih ingat
antaranya;
17.1. Beberapa orang Menteri Kanan dan Ketua Menteri didedahkan
melakukan salahgunakuasa dan rasuah melibatkan ratusan juta Ringgit.
17.2. Pendedahan percutian mantan Ketua Hakim Negara Tun Eusuff
Chin dan keluarga ke New Zealand bersama VK Lingam dan keluarga.
17.3. Pendedahan percutian Peguam Negara Allahyarham Tan Sri Mohtar
Abdullah dengan VK Lingam dan ahli perniagaan Vincent Tan
ke-Italy/Spain.
17.4. Rompakan terbesar dalam sejarah Negara berlaku di-gudang
MASKargo, Terminal B Lapangan Terbang Subang dalam bulan Ogos 1994.Dalam
kejadian ini kumpulan “Geng Mamak” terdiri daripada kumpulan 6
adik-beradik berasal dari Kuala Kangsar,Perak telah melakukan rompakan
nekad, 300 ketul jongkong emas bernilai RM 10 juta.Kami mengenalpasti
Geng Mamak yang melakukan rompakkan ini berdasarkan daripada kajian M.O
mereka.
18. Kecuali kes rompakan 300 jongkong emas di-MASKargo
itu,peristiwa-peristiwa lain yang disebutkan diatas masih lagi
diperbualkan dan dibahaskan sehingga hari ini.Mungkin kerana kerugian
lebih RM 30 Billion itu adalah terlalu besar untuk Rakyat berdiam diri
atau memaafkan sesiapa juga yang terlibat mengakibatkan kerugian
sebanyak itu yang menyebabkan sebilangan besar Rakyat menderita selama
itu.
19. Dalam tempuh 1994 hingga 1996 itu juga,Gani Patail turut
sibuk memainkan peranannya menutup kes atau membenamkan maklumat yang
melibatkan Menteri-Menteri atau Ketua Menteri berkaitan yang boleh
dibuktikan sebagai telah melakukan salahguna kuasa dan rasuah.Tidak
ketinggalan juga berkaitan kes Perwaja dan kemudiannya yang berkaitan
dengan TRI.
20. Berbalik kepada perkara eksesais membersihkan Gani Patail
daripada sebarang salahlaku jenayah pada 31.5.2011 itu, bukanlah kali
pertama SPRM lakukan. Bukan sahaja keputusan ini sudah
dijangkakan,malahan Rakyat telah sampai ketahap meluat dengan
tindak-tanduk SPRM yang tidak putus-putus berbohong, semata-mata untuk
menyelamatkan Gani Patail daripada dikenakan hukuman jenayah. Rakyat
telah hilang keyakinan terhadap SPRM sehinggakan apa juga kebaikkan dan
kejayaan yang dipamirkan oleh SPRM dianggap sebagai sandiwara untuk
mengabui mata Rakyat semata-mata.
21. Padahalnya, Operasi 3B yang SPRM lancarkan 2 bulan lalu,
yang menghasilkan kejayaan cemerlang, patut diberi pujian dan sepatutnya
mampu mengembalikan maruah SPRM yang telah tercemar.Bukan mudah untuk
mencapai kejayaan sedemikian itu,melainkan operasinya dirancang dan
dilaksanakan dengan tahap professionalisma yang tinggi dan kerahsiaan
maklumat yang ketat, yang diamalkan oleh setiap seorang Pegawai dan
angguta terlibat dalam operasi tersebut. Malangnya segala usaha mereka
dianggap sebagai sandiwara semata-mata.Namun kita tidak boleh
menyalahkan Rakyat kerana mereka mempunyai sebab untuk membentuk
persepsi sedemikian.
22. Walaubagaimanapun dalam hal ini hanya SPRM sahaja yang
berhak memilih jalan terbaik untuk mereka.Sama ada mereka terus memilih
untuk melindungi Gani Patail seorang dan sanggup membiarkan Rakyat terus
mengecam mereka, ataupun mereka memilih mempertahankan nama baik dan
maruah organisasi dan setiap seorang warga SPRM dan keluarga mereka.Saya
yakin Yang Amat Berhormat tidak keberatan membantu mereka.
Selamat sejahtera.Wassalam.
Terima kasih,
Yang benar,
(MAT ZAIN IBRAHIM)