Saya tidak mengetahui apa yang sebenarnya
berlaku, saya juga tidak tahu sejauh mana kebenaran pihak yang mendakwa
mahupun kebenaran pihak yang membela DSAI. Tetapi saya beriman yang
Allah Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan Maha Pemutus. Saya beriman yang
banyak perkara di dalam hidupan dunia yang kebenarannya bersifat nisbi;
kecuali kebenaran mutlak yang menyelamatkan , ianya berpunca dari
perkhabaran Allah dan Rasul-Nya.
Bagaimanapun ketika membaca al-Quran dalam usaha mengkhatam al-Quran
dalam bulan Ramadan yang mulia ini pada minggu yang telah berlalu, ayat
ke 71 Surah Yunus terlekat di ingatan saya sehingga kini, ketika
membacanya saya terlintas "apakah terdapat persamaan antara message
terkandung di dalam ayat ini dengan keadaan yang dihadapi oleh DSAI?" -
"Apakah sehinggakan perkara semasa sebeginipun, begitu jelas
persamaannya dengan message di dalam al-Quran?" - "Atau kerana
kecenderungan tertentu, maka saya pun sengaja mahu melihat dari sudut
yang melegakan lantas mengiyakan perhitungan saya?" -
واتل عليهم نبأ نوح أذ قال لقومه ياقوم
أن كبر عليكم مقامى وتذكيرى بئايات الله فعلى الله توكلت فأجمعوا أمركم
وشركاءكم ثم لا يكن أمركم غمة ثم اقضوا ألى ولا تنظرون
"Dan bacalah (ya Muhammad) ke
atas mereka (kaum kafir Makkah) berita tentang Nuh. Ketika dia berkata
kepada kaumnya: "wahai kaumku, jikalaulah menjadi keberatan (ancaman)
besar ke atas kamu dengan kehadiran (kedudukan) aku (di kalangan kamu)
serta peringatan yang aku beri dari ayat-ayat Allah, maka kepada Allah
lah aku bertawakkal. Maka
(oleh itu) sepakatkan keputusan di kalangan kamu serta sekutu-sekutu
kamu (untuk memusnahkan aku), kemudian janganlah jadikan perkara kamu
itu kabur (terselindung; berterus terang sahaja lah tentang tujuan kamu
), kemudian laksanakan atas aku (apa-apa yang telah kamu putuskan itu)
dan jangan kamu bertanggung-tangguh lagi".
Perkara yang sama juga telah dinyatakan oleh tukang-tukang seher di
zaman Saiyyidina Musa, apabila mereka sudah tahu maksud perbicaraan yang
mereka akan lalui, ugutan siksaan yang dikenakan atas mereka oleh
Firaun. Mereka mengungkapkan dengan penuh keimanan dan ketegasan,
kenyataan itu telah diabadikan oleh al-Quran dalam ayat 71-72 Surah Taha
:
قالوا لن نؤثرك على ما جاءنا من البينات
والذى فطرنا فاقض ما أنت قاض أنما تقىضى هذه الحيوة الدنيا أنا ءامنا
بربنا ليغفر لنا خطايانا وما أكرهتنا عليه من السحر والله خير وأبقى
Mereka
(tukang-tukang sihir yang kemudiannya telah memeluk Islam ) berkata:
Kami sekali-kali tidak akan melebihkan (ugutan) engkau atas bukti-bukti
yang nyata (tentang kebenaran Saiyyidina Musa) yang telah datang
kepada kami dan daripada (Allah) yang menjadikan kami; maka berhukumlah
dengan keputusan yang telah engkau putuskan, sesungguhnya engkau hanya
berhukum pada kehidupan di dunia ini (sahaja; kerana kelak kamu juga
akan menerima hukuman) . Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan
kami, semoga Dia mengampuni kami bagi kesalahan-kesalahan kami dan apa
yang engkau paksa ke atas kami dalam melakukan sihir, sesungguhynya
Allah lebih baik (balasan -Nya) dan lebih kekal (siksaan-Nya)
Allah juga merakamkan kenyataan
Saiyyidina Hud yang dimusuhi oleh orang kafir kerana mereka mengatakan
baginda menghina sembahan-sembahan mereka, Saiyyidina Hud menyatakan
dalam ayat 55-56 Surah Hud:
قال أنى أشهد الله واشهدوا أنى برىء مما
تشركون من دونه فكيدونى جميعا ثم لا تنظرون أنى توكلتو على الله ربى
وربكم ما من دابة ألا هو ءاخذ بناصيتها أن ربى على صراط مستقم
Saiyyidina Hud berkata:
"sesungguhnya aku bersaksi kepada Allah dan bersaksilah oleh kamu
sekelian bahawa sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu
syirikkan selain daripada-Nya, oleh itu laksanakan tipu daya sekelian
kamu ke atas aku, janganlah kamu bertangguh lagi (laksanakan segera
perancangan kamu), sesungguhnya aku telah bertawakkal kepada Allah
Tuhanku dan Tuhan sekelian kamu, Tiada suatu binatangpun yang melata
kecuali Allah yang memegang ubun-ubunnya, sesungguhnya Tuhanku di atas
Jalan Yang Lurus.
Dalam rakaman kenyataan-kenyataan di
atas , kita dapat perhatikan gambaran menyeluruh tentang suasana apabila
sistem kehakiman (pemutus hukum) tidak lagi bersikap objektif; sudah
ada hukuman yang telah sedia dirancang untuk dihukum tanpa mengira
kekuatan hujjah bagi pihak yang dituduh. Kemungkinan juga pihak
penguat-kuasa peraturan dan beberapa pihak lain bersekutu dan
berserongkol dalam menentukan yang dituduh akan tetap dihukum dengan
hukuman yang telah diputuskan sebelum perbicaraan. Maka ketika itu apa
lagi maknanya penghujjahan dan segala pembuktian, kerana hukuman bukan
lagi bergantung atas hujjah tetapi mengikut pihak yang berkuasa.
Dalam keadaan itulah Rasul dan orang yang teguh imannya meminta
pihak yang sedemikian agar tidak bertangguh-tangguh lagi, berselindung
di sebalik 'procedures', bahkan segerakanlah laksanakan hukuman yang
mereka telah rancangkan itu. Mereka tidak merasa terancam kerana mereka
telah sandarkan keyakinan mereka yang utuh kepada Allah. Mereka melihat
hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka oleh pihak penguasa yang
zalim itu tiada tara berbanding dengan ganjaran pahala menegakkan
Tauhid, kebenaran serta memperteguhkan kesabaran serta siksaan kerana
kesyirikan, kemaksiatan dan kezaliman. Kalau tidakapun apa lagi ada
pilihannya?
Ya Allah selamatkan kami dari bala yang dahsyat seumpama ini, atau
sekiranya kami ditakdirkan menghadapinya maka Engkau perteguhkan iman
kami, Engkau tinggatkan tawakkal kami kepada Engkau serta Engkau
tariklah ubun-ubun kami ke arah keselamatan.
Ya Allah selamatkan pihak penguasa kami, tanahair kami dari bencana
seumpama ini, Ya Allah suburkan keimanan, kebajikan dn keadilan di
tanahair kami serta Engkau peliharalah penguasa kami daripada melakukan
kezaliman dan kemaksiatan kepada Engkau. Y a Allah jadikan kami hidup
mengikut Syariat Engkau dan di atas Sunnah Nabi-Mu, Saiyyidina Muhammad.
* Semoga
saya masih memelihara pesan guru-guru saya agar mengelak diri dari
menceburi politik, semoga catitan ini akan membawa manafaat kepada saya
dan saudara-saudara seagama tanpa prejudice politik kepartian. Amin
No comments:
Post a Comment