Oleh YB Nurul Izzah
Rancangan Pemuda UMNO untuk mengadakan program jelajah yang akan
“menyerang” Timbalan Presiden PAS Hj Mohamad Sabu amatlah mendukacitakan
dan tidak perlu. Tindakan ini diputuskan walaupun pelbagai pihak
menunjukkan Hj Mohamad Sabu tidak pernah mengagungkan golongan Komunis
ataupun mempromosi keganasan dalam ucapan beliau 21 Ogos yang lalu.
Apa yang terang lagi bersuluh dalam kontroversi terkini adalah:
perbalahan pendapat yang masih belum terhenti mengenai zaman Darurat dan
juga zaman-zaman lain dalam sejarah negara membuktikan versi “rasmi”
sejarah Malaysia yang diangkat pentadbiran BN belum diterima sepenuhnya
semua pihak. Malah ia kelihatan menimbulkan rasa tidak puas hati dan
kegusaran dalam masyarakat, dan menyulitkan segala usaha untuk
menyatupadukan rakyat.
Kita tidak boleh nafikan kewujudan pendapat berlainan mengenai
sejarah Malaysia dan kita juga tidak boleh nafikan pelbagai pihak yang
masih belum sembuh luka silamnya. Sebagai parti pemerintah, UMNO
seharusnya memudahkan perbincangan isu-isu sebegini demi usaha
perdamaian nasional, agar sejarah menjadi batu asas dan bukannya batu
api kepada masa depan kita bersama.
Inilah yang sepatutnya menjadi matlamat parti-parti politik, terutama
sayap-sayap pemuda. Yang sedihnya, UMNO sekali lagi mengguna peluang
yang ada untuk menimbulkan syak wasangka dan rasa benci di kalangan
rakyat Malaysia demi masa depan politiknya sendiri.
Walaupun begitu, pasti timbul keraguan di hati pembaca bila melihat
pihak ini tiba-tiba begitu beria-ia mahu perjuangkan nasib bekas
perajurit. Nampaknya Pemuda UMNO tidak mahu menumpukan usaha mereka
untuk betul-betul membantu bekas perajurit dan mereka yang masih
berkhidmat, tapi sebenarnya hanya berminat untuk mencerca PAS dan Hj
Mohamad Sabu.
Sememangnya, jika UMNO benar-benar mahu perjuangkan nasib para
perajurit negara, mereka akan perjuangkan hak para perajurit untuk
mengundi dengan bebas dan adil dan bukannya mempertahan sistem undian
pos yang sedia ada yang menganiaya hak mengundi para tentera dan
polis.[1]
Lebih dari itu, bukanlah lebih baik jika UMNO menyalurkan masa, wang
ringgit dan tenaga mereka untuk membantu bekas perajurit Malaysia yang
memerlukan bantuan, dan bukannya untuk menjalankan program-program
jelajah sebegini? Bukankah Utusan Malaysia, akhbar alat sebaran mereka,
sudah cukup untuk mencerca PAS, Hj Mohamad Sabu dan Pakatan Rakyat
amnya?
Kita juga terfikir mengapa para “patriot” ini menganggap siri jelajah
sebegini lebih membawa manfaat dan kebaikan dari menyokong, mengawas,
dan memberi maklum balas kepada badan kebajikan para perajurit seperti
Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) dan badan-badan seperti itu? Jika
mereka bekerjasama dengan badan-badan ini – untuk perjuangkan pembelian
aset-aset Exxonmobil, sebagai contoh – pasti pejuang dan perajurit
negara akan menikmati kebaikan dan keuntungan, dan kepentingan negara
akan terjaga lagi terselamat.
Akhir sekali, jika UMNO begitu serius untuk perjuangkan nasib bekas
perajurit yang telah berjuang demi tanah air tercinta, bukankah mereka
sepatutnya membantu bekas perajurit yang telah berjuang sewaktu Perang
Dunia Kedua, yang mana ada di antara mereka yang masih belum menerima
pampasan atau bantuan di atas perjuangan mereka? [2]
Oleh kerana UMNO berkata ia lah satu-satunya pengasas gerakan
kemerdekaan negara kita, UMNO wajib sedar bahawa ia telah mempersendakan
prinsip-prinsip asas negara kerana kerajaan pimpinannya masih
memperguna empat perisytiharan darurat yang masih wujud, walaupun sudah
54 tahun kita merdeka. Apakah negara kita masih belum aman damai hingga
empat perisytiharan darurat ini masih diperlukan?
Malah bukankah ini menunjukkan UMNO secara tidak langsung merendahkan
martabat para perajurit yang kita kasihi dan memperlekehkan perjuangan
mereka selama ini, kerana kononnya negara masih belum selamat dan masih
memerlukan empat perisytiharan darurat ini? Atau adakah UMNO yang
sebenarnya memerlukan empat perisytiharan darurat ini demi masa depan
politik sempit mereka?
Sedarlah wahai UMNO, buanglah kepura-puraan kamu, dan marilah
berganding bahu bersama Pakatan Rakyat untuk menyembuhkan segala duka
lara dan luka negara. UMNO dan lebih-lebih lagi Pemuda UMNO harus sedar
bahawa, meminjam kata-kata Edward Murrow, membangkang tidak bererti
mengkhianat, dan tiada sesiapa yang boleh memonopoli kebenaran ataupun
rasa cinta kepada negara.
Inilah patriotisme sejati.
- Nurul Izzah ialah MP Lembah Pantai dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat
1. Dan jika seseorang warga negara Malaysia boleh menjadi anggota
polis ataupun tentera pada umur 18 tahun tapi masih belum boleh
mengundi, ia hanya merendahkan lagi martabat dan hak-hak mereka yang
berkhidmat sebagai perajurit negara.
2. Lihat http://www.thesundaily.my/news/letters/veterans%E2%80%99-families-seek-compensation danhttp://www.thesundaily.my/news/letters/pensions-paid-after-war
No comments:
Post a Comment