Oleh Aspan Alias
‘Semakin hari semakin lemah’. Begitulah pandangan orang ramai
terhadap kepimpinan hari ini. Kalau dahulu kta beranggapan yang Abdullah
Badawi merupakan Perdana Menteri yang paling lemah, tetapi rupa-rupanya
pandangan itu samasekali meleset. Dengan keadaan sebegini jika pimpinan
masih mengambil pengganti dengan cara konvensyen iaitu siapa sahaja
yang menjadi Presiden UMNO dialah yang akan menjadi Perdana Menteri.
Pemilihan Perdana Menteri secara konvensyen ini menyumbang banyak
masalah kepada negara kerana pimpinan UMNO akhir-akhir ini sudah tidak
mampu lagi untuk mengekalkan kredibiliti sebagai parti yang unggul untuk
dijadikan sebagai badan siasah yang mampu menjadi tunjang kepada
pemerintahan negara.
Bagi saya kita perlu memilih Perdana Menteri mengikut peruntukan
dalam Perlembagaan negara, iaitu Perdana Menteri dipilih di kalangan
ahli-ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan di dalam Dewan Parlimen
itu. Dengan cara ini maka risiko rakyat mendapat pemimpin yang tidak
bertanggungjawab akan berkurangan.
Jika pucuk pimpinan UMNO itu dipegang oleh seorang pemimpin yang
terlalu di ragui oleh rakyat maka negara akan menjadi kacau bilau
politiknya. Keadaan sekarang sudah berlainan. Dulu UMNO dipimpin oleh
mereka yang mengutamakan negara tetapi sekarang UMNO di pimpin oleh
mereka yang mahu jadi ketua kepada negara walaupun tidak berkepimpinan.
Seorang ketua tidak semestinya mempunyai kepimpinan.
UMNO sudah tidak mungkin mampu untuk memilih kepimpinan yang betul
kerana sistem pemilihan secara delegasi itu masih diamalkan. Dengan
bercambahnya kegiatan rasuah politik sekarang ini maka, hanya mereka
yang berkuasa dan mempunyai kewangan yang besar sahaja yang akan menjadi
pemimpin. Pendeknya UMNO tidak lagi mampu untuk mempersembahkan kepada
rakyat pimpinan yang benar-benar berkepimpinan.
Mereka yang jujur dan berkepimpinan yang sepatutnya di persembahkan
kepada rakyat. Pemimpin-pemimpin yang berkepimpinan hanya duduk di
tepian dan inilah masalah yang paling rumit dan sukar untuk di perbaiki.
Yang hendak kita selamatkan ialah negara yang mempunyai penduduk yang
berbilang kaum ini.
Bagi pandangan yang bertanggungjawab pemilihan Perdana Menteri
melalui pemilihan di Dewan Parlimen itu lah yang paling sesuai untuk
masa dan generasi sekarang. Hanya yang perlu di lakukan ialah untuk
memilih di kalangan ahli Parlimen Melayu yang beragama Islam untuk di
tonjolkan dan dan disokong oleh Dewan Rakyat itu, tidak kira dari parti
apa sekali pun.
Pandangan ini jangan di anggap sebagai pandangan di luar kotak. Ianya
ada termaktub di dalam perlembagaan negara. Tidak ada parti dalam
negara ini samada di dalam BN atau pembangkang yang menolak kenyataan
yang negara ini mesti di pimpin oleh seorang Melayu tetapi Melayu itu
biarlah Melayu yang berwibawa dan di hormati serta diterima oleh semua
kaum dan pihak. PAS mengakui yang pimpinan negara kita mesti di kalangan
Melayu dan beragama Islam. DAP pun begitu. DAP tidak mahu mencuba untuk
mengambil tempat Perdana Menteri atau Menteri-Menteri Besar kecuali di
dua buah negeri-negeri ‘Straits Settlement’ iaitu Pulau Pinang dan
Melaka.
DAP mengakui serta menerima yang negeri-negeri bersekutu dan tidak
bersekutu mesti diketuai oleh seorang Ketua Eksekutif Melayu yang
beragama Islam. Ini jelas tetapi pihak yang memerintah tidak mahu
memberikan gambaran yang sebenarnya ini kerana permainan politik untuk
mengelirukan pandangan ramai terhadap isu ini.
Cara konvensyen ini hanya boleh di teruskan jika UMNO berjaya mencari
seorang pemimpin yang dihormati ramai. Memenangi kerusi Presiden UMNO
itu hanya merupakan pilihan ahli-ahli UMNO tetapi dia bukan pilihan
orang ramai. Sebenarnya pemilihan itu bukannya pemilihan ahli-ahli UMNO
yang ramai pada hakikatnya tetapi hanya pemilihan dari delegasi seramai 3
ribu orang sahaja.
Masakan pilihan 3 ribu manusia Melayu yang menjadi delegasi dalam
pemilihan itu merupakan satu representasi bagi 29 juta rakyat negara?
Yang 3 ribu orang itu pun selalunya dikongkong oleh permainan politik
wang dan kuasa yang sangat merbahaya kepada masa depan politik dan
kesetabilan negara. Ramai di antara delegasi itu memilih pada siapa yang
membayar mereka. Itu sebabnya ramai di antara perwakilan itu boleh
membeli kereta baru dan menyelesaikan masalah hutang rumah dan
sebagainya.
Mahu tidak mahu kita wajar mengakui yang UMNO tidak memilih pemimpin
yang berkemampuan tetapi yang memilih pada siapa yang paling berkuasa
dan mempunyai wang yang banyak dan bertimbun. Selagi isu ini tidak
dibereskan selagi itulah negara tidak akan dapat pemimpin yang
sebenarnya.
Kita terpaksa memilih seorang Perdana Menteri ‘beyond the domain of
political parties’. Kita perlukan pembaharuan yang drastik semata-mata
untuk menjaga keselamatan dan keluhuran sebuah negara yang berdaulat
seperti negara kita.
Apabila kita orang Melayu gagal untuk mencari kepimpinan ianya
merupakan satu kegagalan yang sengaja di cari-cari oleh kita semua
kerana kita tunduk kepada wang dan kuasa yang telah memecahkan rakyat
dan negara kita ini.
Isu rasis yang subur di mainkan pada hari ini akhirnya akan
berkesudahan juga. Parti-parti yang memainkan isu rasis ini secara deras
akan di tolak rakyat terutamanya di kalangan rakyat yang ramai kerana
ianya hanya membebankan kepada siapa yang mahu hidup dalam sebuah negara
dengan aman, setidak-tidaknya dengan jiran dan tetangga kita.
Orang Melayu masih di berikan segala-galanya termasuk untuk menjadi
tunjang kepimpinan negara tetapi tidak semestinya melalui UMNO yang kian
hari kian merana dalam kebathilannya sendiri. UMNO mungkin wajar
bersifat defensive tetapi orang Melayu tidak sekali-kali. Orang Melayu
perlu berada dimana-mana.
Mereka wajar berada di dalam PAS dan juga DAP
atau pun PKR. Yang tidak bersetuju elok berada di dalam UMNO dan jangan
mencerca di antara satu dengan lain. cerca-mencerca yang dilakukan oleh
penyokong UMNO telah menjauhkan UMNO dari hati rakyat yang inginkan
kesetabilan politik yang meyakinkan.
Orang Melayu tidak mungkin dapat menyertai MCA kerana MCA hanya untuk
orang Cina yang kesempitan pemikiran, Begitu juga MIC hanya untuk orang
India.
Kita wajar sedar yang parti-parti rasis ini akan tamat riwayatnya
kerana rakyat sudah berubah nilai dan budaya politik mereka. Rakyat
sudah jemu dengan politiking perkauman yang tidak dapat dikawal oleh
parti-parti rasis masing-masing.
No comments:
Post a Comment