KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Fitnah II yang melibatkan Ketua Umum
KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terpaksa ditangguhkan lagi jika
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah
Mansor masih enggan ditemubual peguambela Anwar.
Peguam Anwar, Sankara Nair berkata, perkara itu secara tidak langsung
akan terus melambat-lambatkan lagi bicara kes itu yang sepatutnya
memasuki peringkat pembelaan minggu hadapan.
“Jika mereka (pendakwa raya) tidak menyediakan semua saksi seperti
dipersetujui sebelum hari Jumaat ini maka, perbicaraan tidak boleh
diteruskan pada hari Isnin (depan),” kata Sankara Nair dalam satu
Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Keadilandaily.
Najib dan Rosmah termasuk dalam senarai saksi-saksi yang mahu
ditemubual pasukan peguam Anwar sebelum perbicaraan bersambung Isnin
depan.
Isnin lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin
Mohd Diah memutuskan semua saksi yang ditawarkan pendakwa raya kepada
peguam Anwar perlu hadir untuk ditemubual peguam Anwar.
Termasuk di dalam senarai itu adalah Najib dan Rosmah serta bekas
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka,
Datuk Rodhwan Yusof.
Selasa lalu merupakan percubaan pertama pendakwa raya untuk
melengah-lengahkan perbicaraan apabila enggan meneruskan sesi temubual
peguam Anwar bersama Musa Hassan dan Rodhwan Yusof atas alasan Anwar
turut sama hadir.
Hakim Zabidin pada hari Rabu kemudian memutuskan Anwar berhak hadir
dalam temubual yang berlangsung namun tidak dibenarkan bertanya soalan
kepada saksi-saksi. Sehingga ke hari ini, Najib dan Rosmah masih lagi
belum muncul untuk ditemubual peguam.
Peguam mahu memanggil Najib sebagai saksi kerana penglibatannya dalam
kes tersebut, apabila mengaku berjumpa dengan pengadu Mohd Saiful
Bukhari Azlan sebelum pemuda itu membuat laporan polis terhadap Anwar.
Saiful juga bertemu dengan pembantu khas Rosmah, Datuk Mumtaz Jaafar dan beberapa tokoh lain.
Pegawai Penyiasat kes itu, DSP Jude Pereira dalam keterangan di
mahkamah pada Mac lalu mengaku mengambil keterangan Najib dan Rosmah
berhubung kes berkenaan. Ia sekaligus mewajarkan Najib dan Rosmah untuk
ditemubual sebagai saksi dalam kes itu.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=18689
No comments:
Post a Comment