By Dr Mohd Asri Zainul Abidin
4 JUN — Selamat bermuktamar kepada PAS dan tahniah kepada yang
diberikan amanah. PAS adalah tonggak politik negara. PAS adalah nafas
umat Islam dalam berpolitik di negara ini.
Saya mengalu-alukan kenyataan YB Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang
semalam yang menyebut: “Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak
jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan
negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara
Islam, Dia sebut negara berkebajikan”.
Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS.
Dalam masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain
di dunia ini yang mula keluar dari rethoric negara Islam kepada realiti
kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia.
Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiyyah
atau islamic state seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia satu
istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah
(decolonization). Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut
Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai
oleh umat Islam ketika itu.
Apabila perkataan ‘daulah Islamiyyah’ atau Islamic state muncul,
kemudian diikuti dengan kebangkitan Revolusi Syiah di Iran, maka
perkataan daulah islamiyyah atau Islamic state ini mula dipopular oleh
para pejuang politik islami di seluruh dunia. Disebabkan istilah ini
juga mereka berbalah bahkan menuduh pihak lain kurang islam disebabkan
tidak bersama dalam perjuangan menegakkan daulah islamiyyah atau negara
Islam itu. Walaupun kadang-kala pertentangan ada asasnya, namun
sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai.
Cuma, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah
ini, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan
realistik.
Gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan ‘negara
Islam’ itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata.
Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di
negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan utopia state yang hanya
wujud diminda, tidak mungkin pada realitinya.
Alhamdulillah, apabila gerakan Islam — sebahagian mereka- benar-benar
terlibat sendiri secara langsung dengan politik kenegaraan, maka mereka
mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan.
Kembali mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis, juga amalan para
khalifah Islam yang mendapat petunjuk (al-Khulafa al-Rasyidin), maka
mereka akhir jelas mengapa perkataan ‘negara islam’ atau daulah
islamiyyah itu tidak wujud atau tidak disebut.
Politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan
suasana. Namun, prinsipnya kekal. Ini kerana Islam satu agama realistik.
Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama
negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang
dikehendaki oleh Allah dan rasulNya.
Bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya. Islam agama yang
menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan
menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya. Itulah negara
yang dikehendaki oleh Islam.
Soal mekanisme hukum –sama ada hudud atau tidak- dibincangkan setelah
ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang
condusive yang memungkin keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi.
Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan.
Sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan
parti itu bergerak lebih kehadapan, namun hari ini- dengan kenyataan YB
Presiden akan memberikan nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada
PAS.
Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud ‘negara kebajikan’ yang
hendak diwujudkan. Saya percaya Presiden PAS ada kerangka yang jelas.
Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum
membicarakannya secara meluas. Ini kerana welfare state mempunyai
pelbagai gambaran.
Secara umum, dunia memahami welfare state adalah negara-negara yang
memakai nordic model seperti Norway, Denmark, Sweden dan lain-lain.
Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan
dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut.
* Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah pensyarah di Universiti Sains Malaysia dan bekas Mufti Perlis.
No comments:
Post a Comment