Dari Malaysiakini
Tindakan Datuk Seri Najib Razak menghimpunan belia-belia di Putrajaya
dan merayu undi mereka memperlihatkan rasa gusar perdana menteri
terhadap kebangkitan golongan itu yang kini menuntut perubahan, kata
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Najib semalam mendakwa sejuta belia yang hadir di Putrajaya untuk
sambutan Hari Belia Negara selama tiga hari, kononnya untuk
“mempertahankan” pusat pentadbiran negara dari diambil alih oleh Pakatan
Rakyat.
TV Selangor memetik Anwar berkata, hakikatnya ialah
persatuan-persatuan belia itu dibawa untuk mengisi pelbagai program
riadah yang dianjurkan bersama oleh agensi-agensi persekutuan dan
badan-badan koperat sempena Hari Belia Negara.
“Dia kata di Mesir satu juta orang muda tuntut perubahan. Jadi di sini dia minta orang muda sokong Barisan Nasional.
“Orang muda ini dikaitkan dengan idealisme, cita-cita murni. Orang
muda ini benci dengan kemungkaran, benci dengan rasuah, benci dengan
kezaliman.
“Najib silap. (Sebenarnya belia) yang minta perubahan tumbangkan
kerajaan yang ada. Jadi saya nak sambut dengan katakan sudah sampai
ketikanya anak muda Felda, anak muda Malaysia bangkit tuntut perubahan,”
kata Anwar kepada ribuan peneroka Felda dan penduduk kampung di Kerdau,
Pahang malam semalam untuk mendengar ceramahnya.
Kaya-raya
Anwar malam tadi juga mengupas ucapan Najib pada majlis sambutan Hari
Belia itu yang dialas dengan gesaan supaya belia menyokong Umno-BN
sebagai syarat menikmati kemakmuran.
Kenyataan sedemikian, kata Anwar hanya menunjukkan rasa terdesak Perdana Menteri.
Menurut Anwar beliau tidak menuduh Umno sebagai parti yang tidak pernah membuat apa-apa.
Namun yang dipersoalkan adalah kemungkaran dan kezaliman yang
menyebabkan rakyat menderita manakala pemimpin hidup dalam keadaan
kaya-raya.
“Saya tidak samakan Umno dengan Firaun, Firaun pun buat bangunan dan
jalan, negara komunis, Zimbabwe, mahupun Bangladesh pun buat
pembangunan, soalnya kita ini mahu nilai apa kekurangan besar yang
membolehkan sebuah perubahan kuasa itu perlu,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar mengajak rakyat supaya merenung hala tuju
negara di bawah pemerintahan Umno-BN dan tidak termakan dengan dakyah
dan gula-gula politik yang disebarkan parti itu.
“Saya tidak pertikai hak sesiapa untuk sokong parti mana-mana, tetapi
kita sanggupkah pertahankan kezaliman, bolehkah kita diam tentang
rasuah, mampukah kita biarkan fitnah, lucah termasuk qazaf dan semulanya
berlaku?” tanya Anwar.
Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man ahli
jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Sabu, Ketua Serikandi Siti Aishah Shaik
Ismail dan Presiden ANAK, Mazlan.
No comments:
Post a Comment